Ragbi 7s: Malaysia diundi dengan kuasa besar Asia

Ragbi 7s: Malaysia diundi dengan kuasa besar Asia

Pengurus Kanan Penjenamaan dan Komunikasi Hong Leong Motor, Wang Suk Man bersama pemain ragbi Bunga Raya 7s pada majlis penyerahan Jalur Gemilang sempena Kejohanan Asia Rugby Emirates Sevens Series 2025 di Sungai Buloh, kelmarin. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara bakal berdepan laluan berliku apabila diundi menentang juara bertahan Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan dalam Kumpulan A Siri Ragbi 7s Asia di Hangzhou, China hujung minggu ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, fokus utamanya untuk memastikan pemain tempatan diberi kepercayaan penuh menjelang Sukan SEA Thailand, Disember nanti.

“Semua orang tahu Hong Kong kuasa besar Asia manakala UAE pula ada enam pemain naturalisasi dari Fiji, jadi perlawanan ini jadi medan terbaik untuk kita uji tahap sebenar.

“Kekuatan pemain tempatan ini, saya rasa kita mampu untuk duduk di ranking ketiga sekiranya kita ada bajet dan latihan yang cukup serta mampu. Kita pernah melakukannya di Bangkok pada tahun 2023 yang mana kita berjaya masuk ke separuh akhir dan mendapat tempat ketiga.

“Saya rasa dengan mengekalkan pemain tempatan ini adalah satu yang terbaik bagi saya. Kita tidak perlukan pemain naturalisasi, kita mampu pergi jauh dengan kekuatan pemain tempatan,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Nik Safuan berkata, pengalaman menghadapi pasukan gergasi Asia ini penting untuk menilai kelemahan dan memperbaiki permainan sebelum misi utama di Bangkok.

Katanya, pemain senior akan memainkan peranan besar membantu muka baharu terutama yang datang daripada Sukan Malaysia (SUKMA) dan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) agar cepat menyesuaikan diri di pentas antarabangsa.

“Kalau ikutkan majoriti yang baru-baru semuanya pemain bukan daripada 15s (15 sebelah) tapi yang daripada SUKMA dan juga daripada peringkat MSSM.

“Jika dapat lihat daripada segi pengalaman bermain agak kurang. Tapi apa yang saya boleh harapkan pemain-pemain senior boleh membawa pemain-pemain baru ini untuk biasakan diri bermain di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kumpulan B pula menyaksikan persaingan sengit membabitkan Jepun, Thailand, Singapura dan Sri Lanka, manakala Kumpulan C dihuni China, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan.

Siri ini akan bersambung ke peringkat kedua dan terakhir di Colombo, Sri Lanka pada 18 hingga 19 Oktober ini, yang dijangka menjadi medan penting penilaian menjelang Sukan SEA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN