Perdana Menteri arah penguatkuasaan

Perdana Menteri arah penguatkuasaan

TUNKU NASHRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diarahkan untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025 bagi memastikan bekalan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri mencukupi.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kementerian itu menggunakan strategi intervensi dilaksanakan segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya terdapat gangguan bekalan.

Katanya, arahan itu dikeluarkan susulan pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.

“Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kementerian perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.

“Selain itu, Perdana Menteri mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri semalam.

Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.

“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri menyifatkan tindakan 57 ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebagai mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.

“Namun ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama telah merobek demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada ahli Parlimen yang memberi dukungan penuh kepada pindaan itu yang menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mereformasi institusi serta penambahbaikan terhadap institusi demokrasi, diluluskan Dewan Rakyat selepas 148 ahli Parlimen bersetuju, 57 tidak mengundi dan 17 lain tidak hadir.

Sementara itu, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri menegur pihak yang menyentuh isu 3R atau raja, bangsa, dan agama dan menegaskan bahawa tindakan yang menyentuh perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan, serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri menekankan kepentingan untuk menghayati prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN