PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengerahkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) ke lokasi kejadian sekiranya pemantauan mendapati situasi banjir di Johor menjadi semakin teruk dan tidak terkawal.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, dua pasukan yang ditubuhkan itu ditempatkan di Ayer Hitam dan Segamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir besar dan sebagai pasukan tambahan kepada anggota sedia ada.
“Buat masa sekarang kedua-dua pasukan ini sebenarnya belum lagi dipanggil untuk back up (sokongan). Sudah dua hari hujan secara berterusan dan kawasan dilanda banjir ini sebenarnya majoriti adalah kawasan yang dijangka oleh JBPM,” katanya kepada pemberita berhubung perkembangan situasi banjir di Johor selepas Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 Sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini situasi banjir yang berlaku di Johor adalah terkawal dan keutamaan JBPM ketika berlakunya bencana adalah menyelamatkan mangsa dalam kategori terlantar, warga emas dan kanak-kanak.
“Bomba akan terus melakukan rondaan di lokasi. Kita tidak tinggalkan lokasi meskipun berpuasa,” katanya.
Pada masa sama, Nor Hisham turut memuji mangsa yang terkesan akibat banjir di Johor kerana mempunyai tahap kesedaran yang tinggi untuk segera keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa diarahkan pihak berkuasa.
“Ramai (mangsa) yang keluar sendiri dan ini adalah indikator yang positif,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 10,763 daripada 3,018 keluarga yang ditempatkan di 98 PPS di lima daerah terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,291 orang, diikuti Kluang (2,163), Kota Tinggi (1,762), Pontian (1,395) dan Kulai sebanyak 1,152 orang. – UTUSAN