TEMERLOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang papan tanda amaran dilengkapi Diod Pemancar Cahaya (LED) di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai laluan gajah liar bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan peningkatan kes gajah melintas jalan terutama di kawasan berhampiran hutan simpan, ladang serta kampung ekoran habitat haiwan tersebut semakin mengecil akibat pembangunan.
Kata beliau, papan tanda LED berfungsi memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya supaya memperlahan kenderaan apabila melalui kawasan yang sering menjadi laluan haiwan berkenaan.
“Setakat ini, percubaan awal dilaksanakan di Ulu Muda (Kedah), Gerik (Perak) dan Jertih (Terengganu). Satu lagi lokasi di laluan Persiaran Mokhtar Dahari, Selangor turut dipasang papan tanda sama bagi laluan tapir, namun konsepnya serupa,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini, hari ini.
Abdul Kadir berkata, papan tanda amaran LED itu berkelip secara automatik pada waktu tertentu, terutama pada waktu malam atau ketika dikesan pergerakan haiwan di kawasan berhampiran. – UTUSAN









