Rujuk jawatankuasa Parlimen jika tidak mohon maaf

Rujuk jawatankuasa Parlimen jika tidak mohon maaf

Global Sumud Flotilla
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau gagal menarik balik kenyataan atau memohon maaf secara terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan tegas itu perlu diambil mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurutnya yang juga Ahli Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor, Parlimen tidak boleh dijadikan medan menyebar kenyataan bersifat mengelirukan, tidak berasas atau berunsur fitnah terhadap mana-mana Ahli Parlimen.

“Imuniti Parlimen bukan lesen untuk menyalahguna kuasa apatah lagi datang dari seorang Perdana Menteri yang sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh Dewan.

“Penyalahgunaan imuniti atau kedudukan dalam Dewan adalah pencabulan terhadap prinsip demokrasi berparlimen. Integriti dan maruah Parlimen mesti dipelihara semua pihak tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya, semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pembangkang menuntut permohonan maaf daripada Anwar berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi petrol RON95.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut prinsip bercakap benar dan berterus terang dipertahankan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri sebelum itu mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi berkenaan.

Pada sidang Dewan Rakyat Selasa lalu, Anwar memaklumkan menerima laporan ada ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi, dengan mengaitkan nama Muhyiddin.

Mengulas lanjut, kata Nurul Syazwani, Yang diPertua Dewan Rakyat turut digesa menjalankan tanggungjawab dengan penuh keberanian dan keadilan.

“Tanpa pilih kasih atau kecenderungan politik, Speaker tidak boleh berdiam diri apabila integriti Parlimen dicemari oleh mana-mana individu termasuk ketua kerajaan sendiri.

“Kita tidak boleh bersikap selektif dalam mempertahankan kehormatan Dewan. Jika rakyat melihat Parlimen gagal menjaga tataetika sendiri, bagaimana kita mahu menuntut keyakinan mereka terhadap institusi ini?” soalnya.

Tambah beliau, semua pihak perlu membuktikan bahawa Parlimen masih mempunyai harga diri.

“Tiada siapa yang kebal dan tidak ada tempat untuk kebiadaban berparlimen yang disalut dengan kekebalan politik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN