NAGASAKI: Ribuan orang berhimpun di Nagasaki hari ini bagi memperingati ulang tahun ke-80 pengeboman atom di bandar itu.
Bandar di barat Jepun itu musnah apabila Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan bom plutonium-239 seberat 4,536 kilogram (kg) dikenali sebagai ‘Fat Man’ pada 9 Ogos 1945, membunuh kira-kira 27,000 daripada anggaran 200,000 penduduknya.
Menjelang akhir 1945, jumlah korban akibat pendedahan radiasi akut meningkat kepada kira-kira 70,000 orang.
Pengeboman ke atas Nagasaki berlaku tiga hari selepas bom uranium-235 memusnahkan Hiroshima.
Jepun kemudiannya menyerah kalah pada 15 Ogos, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.
Dalam suasana hening pada Sabtu, Datuk Bandar Nagasaki, Shiro Suzuki menyeru pemimpin dunia supaya kembali kepada prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menunjukkan jalan konkrit ke arah penghapusan senjata nuklear.
“Ini adalah krisis kelangsungan hidup manusia yang semakin menghampiri setiap seorang daripada kita,” katanya dalam ucapan di hadapan 2,700 orang yang hadir.
Tentera AS dipercayai memilih Nagasaki sebagai sasaran kerana kepentingannya sebagai bandar perindustrian utama dan pelabuhan.
Ciri geografi bandar itu, termasuk kawasan berbukit juga dianggap menumpukan letupan tersebut.
Wakil daripada 95 negara dan wilayah, termasuk kuasa nuklear AS serta Israel, menghadiri upacara tahunan di Taman Keamanan Nagasaki untuk tahun ini.
Russia, yang memiliki simpanan nuklear terbesar di dunia, turut menghantar wakil.- AGENSI









