KLUANG: Hasrat orang ramai untuk mendapatkan beras putih tempatan (BPT) yang dijual pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram tidak kesampaian apabila tiada pasar raya dan kedai runcit yang menjual beras tersebut.
Keadaan itu menimbulkan tanda tanya terutama selepas kerajaan mengumumkan 24 juta kampit beras untuk 400,000 keluarga miskin tersebut sepatutnya dijual mulai semalam.
Pengurus sebuah pasar raya di sini yang hanya mahu dikenali Rohani, 45, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan beras itu untuk dibekalkan kepada orang ramai.
Katanya, keadaan ini membuatkan mereka terpaksa menerangkan kepada orang ramai yang datang untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan berpandukan maklumat diumumkan sebelum ini.
“Daripada semalam kami tidak mendapat apa-apa maklumat berkaitan bekalan bahan asas itu di samping tiada pesanan awal diminta oleh pembekal.
“Jika ada pasti akan dijual kepada orang ramai mengikut syarat ditetapkan, bekalan beras yang ada hanyalah beras import,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Sementara itu, seorang pelanggan, Razak Samad, 60, berkata, sudah tiga pasar raya dikunjunginya untuk mencari beras tersebut yang dikatakan mula berada dipasaran hari ini.
Ujarnya, bagaimanapun semua pasar raya berkenaan menyatakan belum menerima bekalan bagi membolehkan ia dijual kepada orang ramai.
“Memang sedih, harapan untuk berjimat sedikit ketika kedatangan Ramadan ini tidak kesampaian dan terpaksa membeli beras lebih mahal sebagai persediaan berpuasa esok,” katanya.
DI TELUK INTAN: Peniaga Agro Bazaar Rakyat Kampung Bahagia di sini, Mohd. Azlan Hasbullah, 39, berkata, dia belum menerima bekalan beras tersebut.
Katanya, dia ada menghubungi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tetapi mereka juga belum menerima bekalan beras itu.
“FAMA cuma beritahu mereka akan maklumkan jika bekalan sudah ada dan akan hantar terus ke kedai-kedai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang pelanggan, Hakiq Mohamad Mustafa, 42, berkata, dia sememangnya menunggu untuk membeli BPT namun setakat ini belum dapat membuat pembelian.
Katanya, dia sudah pergi ke tujuh buah kedai untuk membeli BPT tetapi semuanya tidak mempunyai beras itu.
“Semua tujuh kedai runcit yang saya pergi memberitahu tiada BPT. Saya sudah sediakan duit untuk membeli dua pek BPT seperti yang disyarat tetapi rasa kecewa kerana beras yang dijanjikan masih tidak terdapat di pasaran.
“Saya harap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan memastikan bekalan beras yang dijanjikan boleh dibeli oleh pengguna,” katanya. – UTUSAN










