SEREMBAN: Walaupun kerap kali dianggap sebagai ‘pekan hantu’ kerana keadaan yang lengang tanpa pelanggan, Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai di sini tetap menjadi buat orang ramai mendapatkan barangan keperluan menjelang perayaan Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara kedai yang meriah dikunjungi pelanggan termasuklah kedai menjual permaidani dan juga kedai menjual kelengkapan barangan rumah seperti pinggan mangkuk.
Seorang pengunjung dari Bangi, Selangor, Azzamri Jefri, 36, berkata, Nilai 3 memang sentiasa menjadi pilihan bagi keluarganya bagi mendapatkan pelbagai keperluan terutama sempena hari raya.
“Kami sempena hari raya ini memang mencari bekas kuih raya, jadi saya dan isteri terus ke mari kerana tahu ada banyak pilihan bekas kuih raya di sini. Lagipun harga ditawarkan memang mampu dimiliki,” katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Shah Alam, Rahmah Mutalib, 45, berkata, selain permaidani yang mempunyai banyak pilihan corak dan warna, Nilai 3 ini juga menawarkan banyak pilihan untuk set barangan keperluan rumah seperti pinggan mangkuk, cawan dan bekas kuih raya.
“Saya memang tidak akan lepaskan peluang datang ke Nilai 3 apabila mahu menyambut hari raya. Saya sudah beli karpet dan pinggan mangkuk, harga memang berpatutan malah banyak pilihan, semuanya cantik,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pusat Perniagaan Nilai 3, Datuk Wong Ah San berkata, beliau yakin kawasan perniagaan itu akan kembali meriah seperti sebelum ini.
“Antara perancangan yang kami buat untuk mengembalikan kegemilangan Pusat Perniagaan Nilai 3, adalah dengan pembangunan semula Nilai 3 Streetmall.
“Sebagai langkah pertama, aktiviti Car Boot Sale yang diberi jolokan sebagai Bazar Impian telah dijadikan sebagai projek pemula dalam pembangunan semula Nilai 3 Streetmall. Keseluruhan inisiatif ini akan dikenali sebagai projek The Silk Road Oasis.
“Konsep yang bakal diketengahkan menerusi projek itu adalah dengan menampilkan pelbagai jenis barangan serta jualan daripada peniaga tempatan. Ia adalah hasil kerjasama dengan pihak penganjur,” katanya.










