Kanser prostat merupakan antara kanser paling kerap dihidapi lelaki di Malaysia, namun masih ramai tidak menyedari penyakit ini boleh berkembang secara senyap tanpa sebarang simptom pada peringkat awal.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kes hanya dikesan apabila sudah berada pada tahap lewat, sekaligus menjadikan rawatan lebih sukar dan peluang sembuh semakin rendah.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Sandya Subramaniam dari Pusat Perubatan ParkCity berkata, kanser prostat berlaku apabila sel abnormal berkembang dalam kelenjar prostat, iaitu kelenjar lelaki berbentuk seperti kacang walnut yang menghasilkan sebahagian cecair dalam air mani.

“Kanser ini lazimnya berkembang secara perlahan, namun sesetengah kes boleh menjadi agresif dan merebak ke bahagian lain badan, khususnya tulang dan nodus limfa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, berdasarkan Malaysian Cancer Registry 2017–2021, kanser prostat merupakan kanser ketiga paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki di Malaysia.
Beliau berkata, risiko penyakit ini bukan sahaja wujud, malah meningkat secara ketara mengikut usia.
“Dianggarkan sekitar 8.3 hingga 9.3 peratus lelaki di Malaysia mempunyai risiko menghidap kanser prostat, angka ini meningkat dengan ketara apabila usia bertambah,” katanya.
Tambah beliau, bagi lelaki berumur 75 tahun ke atas, kadar kejadian boleh mencecah sekitar 140 kes bagi setiap 100,000 lelaki, sekaligus menunjukkan kaitan kuat antara kanser prostat dan faktor penuaan.
Faktor lelaki menangguhkan pemeriksaan
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan lelaki masih enggan atau menangguhkan pemeriksaan kesihatan walaupun sedar kepentingannya.
Menurut Dr. Sandya, ramai beranggapan pemeriksaan hanya perlu dilakukan apabila sudah mengalami simptom, sedangkan kanser prostat pada peringkat awal lazimnya berkembang tanpa sebarang tanda.
“Ramai juga bimbang dengan kemungkinan didiagnosis menghidap penyakit serius atau perlu menjalani rawatan, lalu memilih untuk menangguhkan pemeriksaan bagi mengelakkan kebimbangan buat sementara waktu,” katanya.
Faktor masa dan keutamaan hidup seperti komitmen kerja serta tanggungjawab keluarga turut menjadi antara sebab utama lelaki mengabaikan saringan kesihatan.
Selain itu, rasa tidak selesa atau malu terutama berkaitan isu kesihatan kencing dan seksual, persepsi bahawa mendapatkan rawatan adalah tanda kelemahan, serta kekangan kos dan akses kepada fasiliti kesihatan turut menyumbang kepada kelewatan pemeriksaan.
Katanya, tahap kesedaran mengenai kanser prostat di Malaysia masih rendah kerana penyakit itu sering dianggap lebih lazim berlaku di negara Barat berbanding negara Asia.
“Ramai beranggapan kanser prostat ialah penyakit orang Barat, penyakit orang kaya atau hanya menyerang lelaki yang sangat berusia. Disebabkan tanggapan itu, ramai merasakan mereka tidak perlu menjalani saringan.
Bila perlu mula saringan?
Dr. Sandya berkata, usia untuk memulakan saringan kanser prostat bergantung kepada tahap risiko seseorang.
Namun, berdasarkan garis panduan antarabangsa, lelaki tidak seharusnya menunggu sehingga simptom muncul untuk mendapatkan pemeriksaan.

Menurutnya, lelaki yang mempunyai risiko purata disarankan untuk mula berbincang dengan doktor mengenai saringan apabila mencecah usia 50 tahun, dengan pemeriksaan dilakukan mengikut nasihat doktor, sama ada setiap tahun atau setiap beberapa tahun, bergantung pada tahap risiko.
Bagi lelaki yang mempunyai risiko lebih tinggi, seperti mempunyai bapa, abang atau ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap kanser prostat, atau membawa mutasi genetik seperti BRCA, saringan disyorkan dimulakan lebih awal, iaitu sekitar usia 40 hingga 45 tahun.
“Keputusan untuk menjalani saringan perlu mengambil kira umur, tahap kesihatan keseluruhan, jangka hayat, sejarah keluarga dan pilihan individu,” katanya.
Kaedah saringan utama
Mengulas tentang saringan, beliau berkata terdapat dua kaedah utama saringan kanser prostat.
Pertama ialah ujian darah PSA (Prostate-Specific Antigen) yang mengukur tahap protein yang dihasilkan oleh prostat.
Tahap tinggi tidak semestinya bermaksud kanser, kerana ia juga boleh disebabkan oleh pembesaran prostat jinak, jangkitan atau keradangan.
Kedua ialah pemeriksaan rektum digital (DRE), iaitu pemeriksaan fizikal di mana doktor merasai bahagian belakang prostat untuk mengesan ketulan, kawasan keras atau kelainan lain.
Dr. Sandya berkata, pengesanan awal memberi perbezaan yang sangat besar terhadap peluang rawatan dan kelangsungan hidup pesakit.
Jika dikesan pada peringkat awal, rawatan selalunya bertujuan untuk menyembuhkan penyakit, dengan kadar kelangsungan hidup hampir 100 peratus bagi kes setempat atau tempatan lanjut.
Namun, jika kanser sudah merebak ke nodus limfa, tulang atau organ lain, ia tidak lagi boleh disembuhkan sepenuhnya.

Dalam keadaan ini, rawatan seperti terapi hormon, kemoterapi, terapi sasaran, imunoterapi serta agen hormon yang lebih baharu digunakan untuk mengawal penyakit, melegakan simptom dan memanjangkan hayat.
Bagi kes metastatik, jangka hayat pesakit lazimnya sekitar tiga hingga tujuh tahun.
Kemajuan rawatan
Perkembangan rawatan kanser prostat kini semakin pesat dengan pelbagai inovasi yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan rawatan, malah memberi harapan lebih baik terhadap kelangsungan hidup pesakit.
Antaranya termasuk pembedahan prostat radikal dibantu robot, yang merupakan prosedur minimum invasif minimum yang boleh mengurangkan kehilangan darah dan memendekkan pemulihan, walaupun kawalan kanser jangka panjang adalah serupa dengan teknik pembedahan lain yang dilakukan dengan baik.
Selain teknik radioterapi moden seperti Intensity-Modulated Radiotherapy (IMRT), Image-Guided Radiotherapy (IGRT) dan Stereotactic Body Radiotherapy (SBRT) yang membolehkan sinaran dihantar dengan lebih tepat ke kawasan kanser sambil mengurangkan kerosakan pada tisu sihat.
Seterunya, terapi hormon menggunakan perencat reseptor androgen generasi baharu kini semakin digunakan lebih awal bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit.
Beliau berkata, perubatan ketepatan melalui ujian genetik turut memainkan peranan penting, termasuk pengesanan mutasi seperti BRCA1, BRCA2 dan gen pembaikan DNA lain bagi membantu mengenal pasti pesakit yang sesuai menerima terapi disasarkan.
Di samping itu, penggunaan PSMA PET scan meningkatkan keupayaan mengesan kanser prostat yang berulang atau telah merebak, manakala perencat PARP menjadi pilihan rawatan bagi pesakit yang mempunyai perubahan genetik tertentu.
“Antara perkembangan terkini ialah terapi radioligand PSMA menggunakan Lutetium-177 PSMA, yang menyalurkan sinaran secara terus kepada sel kanser prostat sambil mengehadkan pendedahan kepada tisu di sekelilingnya,” jelasnya.
Lelaki sihat boleh berisiko
Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr. Najihah Abu Bakar dari Pusat Perubatan ParkCity berkata, gaya hidup sihat, aktif bersenam dan ketiadaan simptom bukan jaminan seseorang lelaki bebas daripada kanser prostat.

Menurutnya, faktor paling utama ialah pertambahan usia, yang meningkatkan risiko kanser prostat secara langsung apabila seseorang semakin berumur.
“Risiko kanser prostat memang lebih rendah dalam kalangan lelaki berusia bawah 40 atau 50 tahun. Sebab itu ramai yang masih muda dan sihat beranggapan mereka tidak mungkin menghidap penyakit ini.
“Sedangkan hakikatnya, walaupun risikonya lebih rendah, lelaki muda masih boleh mendapat kanser prostat,” jelasnya.
Beliau berkata, ramai lelaki juga tidak menyedari bahawa kanser prostat pada peringkat awal selalunya tidak menunjukkan sebarang simptom, menyebabkan ia sukar dikesan lebih awal.
“Apabila tiada simptom, ramai merasakan mereka tidak perlu berjumpa doktor atau menjalani pemeriksaan. Biasanya simptom hanya muncul apabila penyakit sudah berada pada tahap lebih lanjut,” katanya.
Dr. Najihah berkata, dalam kalangan lelaki yang aktif bersenam, ada juga yang tersalah anggap simptom tertentu sebagai kesan aktiviti fizikal semata-mata.
“Contohnya, apabila mengalami sakit belakang selepas melakukan senaman angkat berat, mereka menganggap ia hanya berpunca daripada senaman dan bukannya kemungkinan penyakit yang lebih serius.
“Sebab itu, jika mengalami simptom yang berpanjangan, jangan terus menganggap ia berpunca daripada senaman sahaja. Dapatkan pemeriksaan kerana ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih membimbangkan,” katanya.
Dr Najihah menegaskan bahawa walaupun gaya hidup sihat sangat penting, ia tidak dapat menghapuskan risiko kanser prostat sepenuhnya.
Faktor utama ialah usia dan genetik yang tidak boleh diubah oleh gaya hidup.
Selain itu, keadaan seperti diabetes, penyakit kardiovaskular dan obesiti turut mempengaruhi risiko serta tahap agresif penyakit, dengan obesiti dikaitkan dengan kanser prostat yang lebih teruk.
Simptom awal sering tidak disedari
Tanda awal kanser prostat sering tidak disedari kerana pada peringkat awal, pesakit biasanya tidak mengalami sebarang gangguan kencing atau kesakitan yang jelas.
Dr. Najihah berkata, keadaan ini berlaku kerana pada tahap awal penyakit, tumor masih kecil dan tidak menekan saluran kencing.
Secara anatomi, kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing dan mengelilingi saluran uretra yang membawa air kencing keluar dari badan.
“Bila ada kanser pada prostat, pada peringkat awal ia tidak menghimpit saluran uretra. Sebab itu pesakit tidak rasa apa-apa masalah ketika membuang air kecil,” katanya.
Namun, keadaan mula berubah apabila penyakit berada pada tahap lebih lanjut.
“Bila masuk tahap tiga dan empat, prostat boleh membesar dan mula menghimpit saluran kencing. Pada waktu itu baru simptom mula muncul,” katanya.
Antara tanda termasuk aliran air kencing lemah atau tersekat-sekat, kerap membuang air kecil pada waktu malam, kesukaran memulakan atau menghentikan kencing, rasa tidak puas selepas kencing, sakit ketika kencing atau ejakulasi, serta kehadiran darah dalam air kencing atau air mani.
Dalam kes lebih serius, pesakit boleh mengalami sakit pinggul, belakang atau tulang belakang apabila kanser sudah merebak ke tulang.










