KUALA LUMPUR: Sejumlah enam projek menaiktaraf diserahkan kepada kontraktor lantikan menerusi Surat Setuju Terima (SST) serta melibatkan Pegawai Penguasa Projek yang terdiri daripada Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan empat Jurutera Daerah melalui Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan hari ini bukti Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya.
Jelasnya, ia bagi meningkatkan aksesibiliti, mobiliti dan saling keterhubungan antara rakyat Malaysia bandar dan luar bandar selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan Program MYJALAN.
“KKR mengucapkan tahniah kepada semua syarikat kontraktor yang dilantik dan berharap mereka dapat memberikan komitmen kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja.
“KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan enam projek ini akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek di sini, hari ini.
Alexander turut memaklumkan, daripada enam projek yang menerima SST, empat daripadanya adalah projek di bawah KKR dengan kos keseluruhan adalah RM156.51 Juta.
“Tiga projek adalah melibatkan penggantian jambatan yang akan memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.
“Manakala satu projek naik aras jalan di lima lokasi yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah jalan terputus di lokasi yang sering berlaku banjir dan memperelok selekoh yang sering menjadi kawasan kemalangan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambahnya, dua projek lagi adalah di bawah Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan adalah RM17.95 juta.
“la melibatkan projek penggantian jambatan baru yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya di samping meningkatkan jaringan jalan raya di
luar bandar serta menghubungkan lebih banyak komuniti dan membuka akses ekonomi di kawasan terpencil,” katanya.
Antara projek yang terlibat adalah Projek menaik aras Jalan Kota Tinggi – Mersing (FT003), Kota Tinggi, Johor.
Kontraktor yang menerima SST itu adalah Syarikat Zinpac Enterprise Sdn. Bhd. dan telah bermula pada 18 Mac lalu dan dijadualkan siap pada Mac 2028 dengan kos projek sebanyak RM130.78 juta.
Selain itu, projek menggantikan pembetung kepada jambatan di laluan Jalan Paya Kemunting (Jitra) – Bukit Kayu Hitam (FT001), Kedah bernilai RM11.5 juta.
Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat MSA BINA Sdn. Bhd. dan tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 17 April ini yang dijadualkan siap pada April 2027 dengan skop projek menaik taraf pembetung kepada jambatan empat lorong dua hala Piawaian JKR R5 sepanjang 18 meter dan lebar 23 meter serta menaik taraf jalan tuju sepanjang 200 meter.
Sementara itu, projek mengganti jambatan Jalan Perwira Jaya – Selancar (FT2490), Rompin, Pahang bernilai RM8.9 juta melibatkan kontraktor Syarikat A2A Ventures Sdn. Bhd. bertujuan menaik taraf jambatan dari Piawai R3 kepada Piawaian JKR R5 sepanjang 50 meter dengan kelebaran 14 meter dan dijangka siap pada Februari 2027.
Di samping itu, projek mengganti Jambatan Gantung di Kampung Rekoh, Rompin, Pahang bernilai RM10.72 juta melibatkan kontraktor Syarikat Libertium Construction Sdn. Bhd. yang akan memulakan kerja pada 15 April ini dan dijangka siap pada April 2027.
Projek tersebut merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 192 meter dengan piawaian JKR R1, kerja membina jalan tuju sepanjang 608 meter serta pembinaan jambatan sementara untuk kegunaan penduduk sekitar.
Lain daripada itu, projek membina baru Jambatan Konkrit di Kawasan Eco Rimba Kenong Mukim Cheka 2, Pahang bernilai RM7.23 juta.
Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat SPE Granavision San. Bhd. yang akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan jambatan konkrit baharu mengikut piawaian JKR R1 sepanjang 130m dengan kelebaran 8.9m yang akan dimulakan pada 16 April ini dan dijangka siap April 2027.
Akhir sekali, projek mengganti jambatan FT1292 di Seksyen 2.90, Jelebu, Negeri Sembilan dengan kos projek bernilai RM5.28 juta.
Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Global Daten Sentrum Sdn. Bhd. dan dijadualkan siap pada April 2027 ini melibatkan skop menaik taraf jambatan kepada jalan tunggal 2 lorong piawai JKR R2 sepanjang 45m dan 9m lebar. – UTUSAN