SHAH ALAM: Seorang peniaga lamb shank nasi Pakistan di Bazar Ramadan Galeria SA Sentral, di sini ibarat dapat ‘durian runtuh’ apabila lebih tiga tan metrik daging tersebut sudah dijual dalam tempoh 10 hari puasa.
Azrul Hisyam Ahmad berkata, berdasarkan sambutan luar biasa itu dia menyasarkan untuk menjual enam tan lamb shank sepanjang Ramadan kali ini.
Katanya, sebelum ini dia berniaga di Batu Pahat, Johor dan nekad untuk mencuba nasib dekat Bazar Ramadan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada tahun lalu selepas menu antarabangsa itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk setempat.
Katanya, telahannya menjadi apabila penduduk Shah Alam meminati lamb shank ala Pakistan jualannya apabila menu berkenaan dijual lebih 500 bungkus sehari.
“Sambutan jualan dekat bazar Ramadan pada tahun lalu amat memberangsangkan menyebabkan tahun ini saya kembali datang berniaga di sini. Sehingga hari ini kira-kira tiga tan lamb shank sudah dijual ada baki tiga tan lagi sehingga akhir Ramadan.
“Tambahan pula menu tersebut saya masak di sini dan dijual panas-panas kepada pelanggan. Itu pun salah satu faktor kenapa orang datang membeli lamb shank di gerai saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Azrul Hisyam, dia bersyukur gerainya mendapat sambutan apabila pelanggan mula mengerumuni meja seawal pukul 3 petang dan mula memasak pukul 2.30 petang.
“Selain menu itu, saya juga berikan secara percuma mee goreng dan teh tarik kepada pelanggan.
“Malah untuk tarik lebih ramai yang datang, saya anjurkan cabutan bertuah yang mana pelanggan berpeluang memenangi dua buah kereta. Mereka hanya perlu beli satu set Nasi Pakistan Lamb Shank dengan harga RM55 dan akan mendapat satu kupon cabutan bertuah,” katanya. – UTUSAN










