Lebih sejuta pembayar cukai dapat manfaat kelonggaran e-Invois

Lebih sejuta pembayar cukai dapat manfaat kelonggaran e-Invois

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan melaksanakan program pengakuan sukarela e-Invois memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan operasi tanpa berdepan tindakan penalti.

Langkah itu mampu memberi manfaat kepada lebih sejuta pembayar cukai selepas kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.

Selain itu, mempercepatkan tuntutan elaun modal bagi perbelanjaan pelaksanaan e-Invois kepada tempoh satu tahun juga menjadi kelegaan kepada PMKS.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, keputusan tidak mengenakan penalti terhadap pembayar cukai yang membuat semakan, pembetulan atau kemas kini e-Invois secara sukarela membuktikan kesediaan kerajaan mendengar pandangan komuniti perniagaan.

Katanya, PMKS khususnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem baharu serta pelaksanaan transformasi digital dalam pengurusan percukaian.

“DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas pendekatan yang lebih fleksibel dan berpaksikan realiti dunia perniagaan.

“Program Pengakuan Sukarela e-Invois memberikan keyakinan kepada usahawan untuk melaksanakan sistem baharu ini secara lebih tersusun tanpa kebimbangan dikenakan tindakan penalti sepanjang tempoh penyesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Program Pengakuan Sukarela e-Invois diperkenalkan sehingga 31 Disember 2027 bagi membantu mengurangkan kos pematuhan perniagaan sebagai ikhtiar tambahan kepada pembayar cukai.

Norsyahrin berkata, pelaksanaan e-Invois merupakan pembaharuan penting bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan dan integriti sistem percukaian negara.

Namun, katanya, kejayaan bergantung kepada tahap kesiapsiagaan perusahaan, khususnya PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Transformasi digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan usahawan daripada segi kos, pengetahuan, infrastruktur digital dan tenaga kerja.

“Oleh itu, insentif serta kelonggaran yang diumumkan kerajaan akan memberi ruang kepada PMKS membuat persediaan yang lebih rapi sebelum pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN