Saran bukukan kisah kejayaan `legenda’ PDRM

Saran bukukan kisah kejayaan `legenda’ PDRM

ZAKARIA Yusof (enam, kiri) bersama delegasi Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Selangor menziarahi B.D. Henry (berkerusi roda) di Sungai Buloh, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZABRY MOHAMAD MADZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kisah kejayaan ‘pembanteras jenayah’ (crime buster) dalam kalangan veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya dibukukan sebagai inspirasi kepada pasukan keselamatan dan masyarakat umum.

Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Selangor, Datuk Zakaria Yusof berkata, kecemerlangan mereka yang dianggap `legenda’ PDRM itu sering menjadi idola kepada pegawai dan anggota yang masih berkhidmat.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang sedia bekerjasama dengan Respa dalam menghasilkan buku tersebut.

“Respa Selangor sendiri bersedia untuk mengumpulkan maklumat mengenai legenda-legenda PDRM ini dengan mana-mana pihak yang mahu menerbitkan buku sebegini.

“Hasil jualan buku ini nanti kita boleh salurkan kepada dana kebajikan bekas polis atau Tabung Pahlawan,” katanya ditemui selepas mengetuai delegasi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Respa Selangor menziarahi bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Polis (B), B.D. Henry.

Henry, 94, yang bersara daripada perkhidmatan PDRM pada 1986 kini ditempatkan di rumah kebajikan St. Mark’s Cozy Home, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.

Zakaria memberitahu, Henry dianggap pembanteras jenayah terhebat pada 1970-an dan digeruni penjenayah.

Menurutnya, Henry menjadi idola kepada ramai pegawai polis termasuk dirinya sendiri pada era tersebut berikutan kepimpinan luar biasa, ketegasan dan rekod cemerlang dalam membanteras jenayah terancang

Turut hadir ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN