PETALING JAYA: Tiga sekeluarga, dua daripadanya pengarah syarikat pengeluar dan pemprosesan padi dan beras, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan dana berjumlah kira-kira RM20 juta.
Dokumen itu dikemukakan kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi dana Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I (Trade Working Capital Financing) untuk pembelian padi dan beras, namun tidak berlaku.
Menurut sumber, seorang daripada suspek tersebut telah ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Julai ini selepas permohonan dibuat SPRM di mahkamah di Alor Setar, Kedah pagi ini.
“Suspek lelaki berusia 30-an yang juga pengurus operasi telah ditahan kira-kira puku 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang juga sekeluarga, telah bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.
“Bagaimanapun dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang merupakan pengarah syarikat telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen palsu tersebut kepada institusi kewangan berkenaan bagaimanapun tidak berlaku urusan pembelian padi dan beras tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










