KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya menerima sebarang minit (catatan) daripada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada terdapat sebarang campur tangan Muhyiddin dalam proses penilaian kontraktor-kontraktor yang dicadangkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.
Berdasarkan penyata saksi yang dibacakan oleh saksi pendakwaan ke-11 itu semalam, Tengku Zafrul menyatakan, terdapat arahan daripada Muhyiddin agar Kementerian Kewangan segera mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan.
Cadangan tersebut adalah ‘Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)’ yang turut menyenaraikan nama-nama syarikat kontraktor.
Selain itu, Tengku Zafrul menyatakan terdapat minit daripada Muhyiddin dalam beberapa surat sokongan yang menyatakan ‘Bersetuju dengan cara pra kelayakan’ dan ‘YBMK, saya bersetuju ia dibuat secara PreQ’ yang turut disertai dengan tandatangan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.
Amer Hamzah: Minit (catatan) ini tidak boleh dianggap sebagai kelulusan daripada PM (Perdana Menteri, Muhyiddin)?
Tengku Zafrul: Setuju.
Amer Hamzah: Tidak kira, apa yang diminitkan, semua perlu mendapat kelulusan Kabinet?
Tengku Zafrul: Ya, kecuali jika PM tolak.
Amer Hamzah: Jadi minit ini hanyalah untuk dibawa kepada perhatian awak?
Tengku Zafrul: Dibawa ke perhatian saya untuk dipertimbangkan.
Amer Hamzah: Ia bukan satu arahan mandatori, sekadar cadangan untuk awak mempertimbangkan cadangan. Ia hanya untuk dibawa kepada perhatian awak?
Tengku Zafrul: Sekiranya ia daripada PM, saya akan mengambil tindakan. Saya akan mengambil tindakan bagi memastikan pertimbangan dilakukan.
Amer Hamzah: Ia sekadar pentadbiran (form of administration), untuk bawa kepada perhatian awak?
Tengku Zafrul: Ia bergantung kepada konteks. Kadangkala ada minit yang jelas (arahannya). Tan Sri Muhyiddin contohnya, boleh sahaja tulis ‘Saya tidak bersetuju’. Sebab itu saya katakan ia bergantung kepada konteks.
Selain itu, Tengku Zafrul menafikan terdapat campur tangan dalam penganugerahan projek-projek kerajaan kepada kontraktor-kontraktor yang dicadangkan oleh Muhyiddin kerana kelulusan akhir diberikan oleh kementeriannya.
Amer Hamzah: Ada campur tangan PM dalam kelulusan penilaian?
Tengku Zafrul: Penilaian dibuat oleh jawatankuasa (Bahagian Perolehan Kerajaan). Jawatankuasa kemudian akan membuat recommendation dan kelulusan akhir akan dibuat oleh Kementerian Kewangan.
Amer Hamzah: Dalam proses yang awak nyatakan, ada atau tidak campur tangan atau PM masuk campur?
Tengku Zafrul: Berdasarkan pengetahuan saya, tiada.
Tengku Zafrul juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa sejak memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula semalam, Tengku Zafrul tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen yang memaparkan kepentingan Muhyiddin dalam mana-mana syarikat kontraktor dicadangkan.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN







