Bicara Wan Saiful tangguh hingga 24 Jun

Bicara Wan Saiful tangguh hingga 24 Jun

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 24 Jun ini perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa.

Hakim Rozina Ayob turut melapangkan tarikh perbicaraan esok selepas peguam Joshua Tay yang mewakili Wan Saiful, 47, memohon penangguhan perbicaraan kes berikutan peguam utama Amer Hamzah Arshad membawa ibunya ke hospital.

“Saya juga memohon supaya tarikh perbicaraan esok dilapangkan atas alasan isteri anak guam saya telah dimasukkan ke hospital semalam. Susulan itu, anak guam perlu menemani isterinya sepanjang minggu ini bagi menjalani rawatan,” kata peguam itu.

Joshua berkata, pihaknya juga telah memberikan sesalinan surat dari hospital kepada pihak pendakwaan dan mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan pada hari ini dan esok, namun tidak membantah permohonan penangguhan prosiding perbicaraan.

Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd., daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai dan 30 September 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn. Bhd..

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN