KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia menganggap setiap minit catatan dan surat yang datang daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah arahan.
Menurut Tengku Zafrul, beliau dan kementeriannya perlu memberikan pertimbangan serius terhadap perkara itu memandang setiap minit dan surat itu datang daripada Perdana Menteri.
“Saya bertindak atas kesemua minit dan surat Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam pengalaman saya sebagai Menteri, minit dari Perdana Menteri adalah satu minit yang kita perlu ambil tindakan, jika tidak kerajaan tidak boleh berfungsi. Namun, mengambil tindakan tidak bermaksud kita perlu melakukan sesuatu yang tidak betul.
“Dalam kes ini, minit daripada saya, daripada pegawai juga, adalah satu minit yang memerlukan tindakan susulan. Tindakan susulan itu mungkin akan disusulkan dengan syor. Syor itu kadang-kadang setuju, kadang-kadang tidak setuju, bergantung kepada punca kuasa juga, saya (boleh) bersetuju atau tidak setuju.
“Dalam konteks ini, Perdana Menteri adalah superior (pegawai atasan) beliau adalah Perdana Menteri. Jadi sudah tentu, minitnya adalah arahan.
“Dalam kes ini, minit beliau adalah untuk mengarahkan saya dan kementerian Kewangan untuk membuat pertimbangan tetapi bukan arahan untuk meluluskan,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Dirujuk kepada keterangan sebelum ini bahawa jika Perdana memberikan minit supaya tidak perlu mempertimbangkan, maka beliau tidak akan membuat pertimbangan.
Selain itu, Tengku Zafrul memberitahu bahawa setiap minit dan surat yang datang daripada Muhyiddin akan diberikan pertimbangan serius.
“Dalam kes ini, kami telah mengambil pertimbangan serius dan bertindak terhadapnya (acted on it),” ujarnya.
Jelas Tengku Zafrul, pertimbangan serius yang dimaksudkan adalah supaya beliau memberikan minit kepada Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan bagi memulakan proses penilaian terhadap syarikat-syarikat yang dicadangkan oleh Muhyiddin bagi menentukan sama ada layak untuk mendapat projek secara rundingan terus atau pra-kelayakan.
Tengku Zafrul yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata demikian dalam perbicaraan kes Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin, 79, yang sedang dibicarakan atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.
Pada Isnin lalu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa Muhyiddin ada mengeluarkan surat cadangan yang turut mengandungi senarai nama 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Beliau menjelaskan perolehan rundingan terus adalah proses tender perolehan yang dilaksanakan dengan satu syarikat sahaja manakala kaedah tender pra kelayakan adalah proses tender yang dilaksanakan dengan syarikat-syarikat yang telah layak setelah melalui syarat dan terma prosedur pra kelayakan yang telah ditetapkan.
Selain itu, Tengku Zafrul memberitahu beliau tidak mengetahui kenapa ada syarikat yang dicadangkan untuk rundingan terus dan ada yang diminitkan untuk pra-kelayakan.
Tambahnya, individu yang mengetahui alasan kenapa ada syarikat yang dicadangkan untuk rundingan terus dan ada yang diminitkan untuk pra-kelayakan adalah individu yang mengeluarkan minit atau tanda tangan surat.
Wan Shaharudin: Siapa yang tanda tangan surat?
Tengku Zafrul: Tan Sri Muhyiddin.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Zafrul, Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat memberitahu tiada mana-mana wakil syarikat yang dicadangkan ada datang berjumpa dengan Kementerian Kewangan secara terus.
Ujarnya, Pejabat Perdana Menteri juga ada mengeluarkan surat iringan beserta surat minat daripada syarikat-syarikat yang mengandungi minit persetujuan daripada Muhyiddin bagi perhatian Tengku Zafrul.
“Saya sahkan saya tidak pasti bagaimana PMO membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat juga telah diputuskan oleh PMO sendiri. Saya juga sahkan syarikat-syarikat di dalam dokumen ini juga disenaraikan PMO dan bukannya daripada Kementerian Kewangan,” katanya yang juga saksi pendakwaan ke-12.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN










