120 SD bukan desak Muhyiddin letak jawatan Presiden

120 SD bukan desak Muhyiddin letak jawatan Presiden

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden parti itu. 

Sebaliknya, bekas pemimpin Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dokumen itu bagi menggesa supaya usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

Beliau turut menyifatkan dakwaan SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan adalah naratif daripada ‘kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.’

“Lebih kurang dua minggu sebelum perhimpunan agung, timbul ura-ura ada satu usul hendak dibawa untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

“Kita tahu daripada awal Pas tak bersetuju dan kita tidak mahu hubungan dengan parti itu menjadi renggang. 

“SD itu sebenarnya bukan mengenai tukar presiden, tetapi diambil kesempatan oleh kem sebelah Azmin untuk menyatakan ia adalah usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malangnya, beliau pun percaya,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, apabila timbul pelbagai persoalan dibangkitkan berhubung niat Muhyiddin untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, perkara yang seharusnya dilakukan oleh beliau adalah melepaskan jawatan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, Hamzah turut dipanggil oleh Lembaga Disiplin kerana kegagalan Timbalan Prersiden Bersatu itu `mengawal’ beliau.

Pada 14 Oktober lalu, Bersatu memecat Wan Saiful dan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana melanggar perlembagaan serta tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut memecat empat Ketua Bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN