NARATHIWAT, THAILAND: Ibu kepada Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau Eda Ezrin terpaksa menjual semua barang kemas milik penyanyi lagu Bea Sobar Bea tersebut untuk membayar kos peguam bela yang mengendalikan kes dadah anaknya itu.
Zaharah Mamat berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai kos tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia hanya mampu membayar 500,000 baht atau RM65,880 untuk menampung sebahagian daripada bayaran guaman tersebut.
“Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah dua juta baht atau RM263,521 sepertimana yang diminta peguam. Bayaran itu melibatkan empat orang termasuk Eda Ezrin. Alhamdulillah hasil jualan barang kemas itu, saya dapat kumpul 200,000 baht (RM26,352).
“Selebihnya keluarga mentua yang selesaikan bayaran tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan di Mahkamah Narathiwat di sini, semalam.
Zaharah bersyukur anaknya bebas daripada tuduhan memiliki dadah itu.
“Dari awal naluri saya mengatakan dia tidak bersalah kerana Eda Ezrin anak yang baik. Sepanjang empat bulan Eda Ezrin di penjara, hidup saya tidak tenang dan setiap masa berdoa supaya dia dibebaskan,” katanya.
Zaharah berkata, dia ketika ini menetap di Tak Bai di sini dan membuka sebuah kedai makan kecil-kecilan di pekan tersebut sejak Eda Ezrin ditahan reman di Penjara Wilayah Narathiwat, kira-kira empat bulan lalu.
“Saya memang asal sini (Thailand). Apabila Eda Ezrin ditahan reman pada November lalu, saya balik dan membina hidup di sini. Kedai makan saya di Kelantan juga sudah tutup. Apabila menetap di sini, saya boleh melawat Eda Ezrin di penjara pada hari Khamis setiap minggu. Saya bawa makanan yang diminta Eda Ezrin setiap kali waktu melawat,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusoff berharap anaknya dapat mengambil pengajaran atas apa yang berlaku ini.
Dia berharap Eda Ezrin pulang ke rumah dengan kadar segera.
“Bila pulang nanti, saya bercadang mahu adakan kenduri doa selamat,” katanya.
Eda Ezrin bersama lima yang lain belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, ini kerana pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa sebulan.









