Jawatankuasa peringkat tertinggi atasi masalah nelayan ke Kabinet

Jawatankuasa peringkat tertinggi atasi masalah nelayan ke Kabinet

AHMAD Zahid Hamidi dan Mohamad Sabu disambut warga nelayan pada sesi libat urus bersama komuniti nelayan Zon Pantai Barat di Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi melibatkan lima kementerian bagi mendepani dan menangani sebarang permasalahan yang dihadapi komuniti nelayan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan Jumaat ini.

Katanya, jawatankuasa tersebut melibatkan koordinasi antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Dalam Negeri.

“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa ini bagi mencari jalan penyelesaian permasalahan yang telah disebutkan dalam sesi libat urus yang diadakan di lima zon perikanan.

“Tentunya isu-isu yang dibawa itu berlainan tetapi saya dimaklumkan bahawa kebanyakan isu ada persamaan atau cuma isu-isu tempatan sahaja berbeza, tetapi soal dasarnya adalah sama.

“Jadi bagi menyelesaikan masalah ini, saya akan mencadangkan pada Kabinet supaya jawatankuasa ini dapat ditubuhkan melibatkan lima kementerian,” katanya pada Program Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini semalam.

Sebelum ini, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim pada Jun tahun lalu pernah menyarankan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian bagi membanteras kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang didakwa berlaku dalam kalangan nelayan tempatan.

Ahmad Zahid berkata, antara isu yang akan diberikan fokus dalam jawatankuasa tersebut adalah berkaitan penyasaran subsidi diesel kepada para nelayan

Katanya, meskipun penyasaran subsidi diesel belum dimuktamadkan, kerajaan akan berusaha membantu golongan nelayan dengan merangka skema khusus berbentuk bantuan bagi kebajikan nelayan dan bantuan bagi komuniti itu keseluruhannya.

Tambahnya, ini termasuk cadangan pemberian insentif kepada nelayan berdasarkan hasil tangkapan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN