Hakim tegur Along Cham, dokumen cerai tidak lengkap

Hakim tegur Along Cham, dokumen cerai tidak lengkap

Muhammad Nizamudin Ahmad atau lebih dikenali Along Cham dan ibunya, Siti Habsah Kadir dalam sidang akhbar selepas tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang semala. - UTUSAN.SKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham, ditegur oleh Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi kerana gagal melampirkan borang lengkap permohonan lafaz taklik semalam.

Bukan itu sahaja, pelakon tersebut turut diminta melantik peguam untuk melancarkan proses perceraian yang ditunda ke 8 Mei depan.

“Minta betulkan dokumen (tuntutan pengesahan taklik) ini. Berapa sebenarnya lafaz yang mahu disahkan hari ini? Buat betul-betul, jangan jadi huru-hara.

“Dakwaan ini sepatutnya kena dibuat dengan teratur. Nyatakan lafaz pertama bila termasuk rujuk atau tidak. Nanti kena datang semula ke mahkamah,” katanya ketika sebutan kes pengesahan taklik itu di Mahkamah Syariah Rendah Sepang di sini semalam.

Ketika diasak Along untuk menyegerakan kes mereka, secara berseloroh hakim tersebut memberikan respons tidak disangka.

“Saya pun mahu cepat, kalau boleh saya mahu selesaikan kes ini semalam,” jelasnya.

Terdahulu hasrat pelakon dan pelawak, Along Cham untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya gagal apabila dia gagal melampirkan dokumen yang lengkap.

Oleh itu, hakim memutuskan 8 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan baharu bagi pengesahan lafaz cerai yang dipercayai berlaku pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, ibu kepada pelakon tersebut, Siti Habsah Kadir, 64, mendedahkan mereka dua beranak pernah tidak bercakap sejak mereka berkahwin tahun lalu.

Habsah mendakwa wujud salah faham yang besar dalam keluarga berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan isteri Along, Afreena Suhaimi atau Feena.

“Saya tidak pernah pilih siapa menantu saya. Siapa yang anak saya pilih, saya terima seadanya.

“Apa yang dia beritahu kepada media tentang keluarga Along, dia sahaja yang tahu. Cuma dia buat kesilapan terhadap keluarga saya, hingga Along benci keluarga sendiri.

“Setahun kami tidak jumpa kerana terkilan. Apa yang berlaku terlalu peribadi, itu sahaja saya boleh cerita,” katanya.

Terkilan dengan perkara tersebut, Habsah tidak lagi masuk campur dalam urusan rumah tangga Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42.

Bagaimanapun, sebagai seorang ibu dia tidak pernah mahukan rumah tangga yang dibina anaknya musnah kurang daripada setahun.

“Selepas Along kahwin saya tidak masuk campur, pandai-pandai Along melentur rumah tangga dia.

“Sebenarnya sedih tengok anak jadi begini, bukan saya minta. Bukan saya suka, saya tak suka, saya sedih sangat-sangat,” tambahnya sebak.

Dalam pada itu, Along menegaskan, dia terpaksa membuka mulut apabila ibunya turut terkena tempiasnya.

“Bukan sifat saya kaki sebar aib rumah tangga. Kali ini apabila sudah melibatkan ibu saya hingga dituduh bukan-bukan dicanang kepada jiran, apalah agaknya perasaan seorang ibu.

“Dua bulan kahwin memang ada ‘demam’ sikit tetapi lepas itu rezeki mula masuk daripada Angah dan Didie Alias.

“Saya ada isteri tetapi saya terlepas salam raya dengan ibu, tidak dapat berpeluk dengannya sedangkan reda Allah terletak pada reda ibu.

“Saya bersyukur sebelum salah seorang pejam mata, kami kembali bersama. Bagaimana bentuk keadaannya, itu semua perancangan Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×