SEPANG: Pihak pendakwaan kes dadah Along Cham diminta untuk menasihati saksi mereka agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memprejudiskan pelawak tersebut.
Peguam bela, Zaleha Al-Hayat yang mewakili Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, membuat permintaan tersebut sewaktu sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Saksi berkenaan dikatakan telah memuat naik kenyataan mendakwa mengatakan anak guamnya adalah seorang penagih dadah.
“Kenyataan (saksi) bahawa tertuduh dalam kes ini seorang penagih dadah adalah bersifat prejudis serta menghukum tertuduh kepada seorang yang bersalah sedangkan tertuduh masih belum lagi didapati bersalah pada peringkat ini dan kes ini masih belum dibicarakan,” kata peguam itu.
Sehubungan itu, pembelaan memohon supaya pihak pendakwaan menasihati saksi berkenaan supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang menuduh dan bersifat prejudis kepada Along Cham.
Majistret Khairatul Animah kemudian merekodkan permohonan pembelaan manakala pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa, Veerasamy mengambil maklum mengenai isu dibangkitkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September bagi sebutan semula kes termasuk keputusan representasi yang dikemukakan pelawak berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pukul 3.10 petang 14 Disember lalu dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.
Sementara pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. – UTUSAN










