KUALA LUMPUR: Seramai 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2020 dengan pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai punca utama.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 2,776 kes kebankrapan dalam kalangan belia pada 2024 berpunca daripada pinjaman peribadi, merangkumi 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes yang direkodkan tahun itu.
“Trend kebankrapan belia semakin meningkat apabila sebanyak 877 kes dicatatkan pada 2024, meningkat 150 kes berbanding 727 kes pada 2023,” katanya di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang meminta penjelasan mengenai jumlah belia muflis serta langkah kerajaan bagi menangani masalah tersebut.
Hannah berkata, daripada jumlah keseluruhan belia muflis, seramai 5,189 adalah individu berusia 25 hingga 34 tahun, manakala 83 kes melibatkan mereka yang berumur di bawah 25 tahun.
Katanya, selain pinjaman peribadi, faktor lain kebankrapan termasuk pinjaman perniagaan (1,148 kes), pinjaman perumahan (474 kes), keberhutangan lain (463 kes), sewa beli kenderaan (444 kes) dan penggunaan kad kredit (89 kes).
“Bagi menangani masalah ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melaksanakan program Literasi Kewangan Belia dari April hingga Oktober tahun ini di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran golongan belia mengenai pengurusan kewangan,” katanya.
Menurut Hannah, kerajaan turut menyasarkan 30,000 belia menyertai program peningkatan ketahanan kewangan menjelang 2030 sebagai langkah memperkukuh kestabilan ekonomi golongan muda.
“Jabatan Insolvensi dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga melaksanakan pelbagai program kesedaran, termasuk Jelajah Insolvensi, bagi membantu belia memahami risiko kewangan dan mengelakkan kebankrapan,” katanya.-UTUSAN