SEPANG: Pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau Along Cham bersedia untuk menjalani perbicaraan yang panjang dalam pertuduhan berkaitan kes dadah yang dihadapinya.
Along Cham, 42, semalam didakwa sekali lagi atas pertuduhan memiliki 1.49g (gram) dadah jenis Kanabis dan dia kekal mengaku tidak bersalah.
“Saya akan memberikan kerjasama yang penuh, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Berat dadah itu merupakan jumlah bersih selepas laporan kimia telah diperoleh yang mana sebelum ini berat dadah tersebut 2.07 gram.
Kesalahan tersebut didakwa sebuah rumah di Cyberjaya di sini pada pukul 3.10 petang, 14 Disember 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan kemudian menetapkan 7 April ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Ketika prosiding tersebut, Along Cham diwakili peguam Syed Yusof Syed Zaid manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Inspektor Sutri Patang.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskannya atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun dia kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan masing-masing memiliki dan memasukkan dadah.
Pada prosiding Mahkamah Majistret ketika itu, Along Cham berdepan pertuduhan memiliki kanabis seberat 49.61 gram dan mengambil dadah tetra hydrocannibol (THC) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Sebelum ini, Along Cham juga didakwa atas pendakwaan memiliki dadah seberat 58.23 gram.










