KUALA TERENGGANU: Seramai 325 murid dan pelajar sekolah bakal menerima manfaat hasil pelaksanaan Program Tuisyen Asnaf Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad, tahun ini.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 300 murid adalah dari sekolah rendah manakala selebihnya pelajar menengah.
Katanya, program itu dimulakan pada 2018 dan memberi manfaat kepada 1,630 asnaf setakat ini.
“Program Asnaf to Asnaf (A to A), inisiatif tuisyen komuniti anjuran UMT kini memasuki musim keempat dengan penjenamaan baharu sebagai Tuisyen Komuniti Etiqa. Kini, ia diperluas bagi membantu lebih ramai murid dan pelajar yang memerlukan bimbingan akademik, khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
“Melalui dana tajaan RM365,400 daripada Etiqa Family Takaful Berhad, program ini dapat menyediakan modul pembelajaran, latihan intensif, serta analisis data untuk menambah baik keberkesanan tuisyen ini,” katanya pada Majlis Ihsan Ramadan dan Peluncuran Program Asnaf to Asnaf di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT di sini.
Antara sekolah yang terpilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, SMK Kompleks Gong Badak, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, SK Tok Jembal dan SK Mengabang Telipot. –UTUSAN










