Wajibkan prasekolah bantu penguasaan 3M pelajar

Wajibkan prasekolah bantu penguasaan 3M pelajar

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan untuk mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak berusia enam tahun ke prasekolah sebagai pendedahan awal kepada penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M).

Hal ini disebabkan kemahiran asas 3M murid di Malaysia berada pada tahap membimbangkan apabila seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas 3M, berdasarkan saringan awal literasi dan numerasi terhadap 448,113 murid Tahun Satu sesi 2024/2025.

Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia, tahap kemasukan anak-anak berusia enam tahun ke prasekolah pada tahun lalu sudah mencapai 86 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan sama, hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir tahun lima, jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini, termasuklah dengan Vietnam.

“Tahap paling penting dalam sistem pendidikan adalah prasekolah. Ia tempat paling penting untuk memberi motivasi dan persiapan psikologi kepada anak-anak untuk menimba ilmu.

“Memandangkan Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027, jadi kerajaan dicadangkan supaya mewajibkan juga prasekolah kepada anak-anak berusia enam tahun pada tahun sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Buat masa kini, dasar pendidikan wajib hanya membabitkan pelajar sekolah rendah iaitu sehingga bermula tahun satu hingga enam, namun ia tidak membabitkan murid prasekolah seawal usia empat tahun.

Anuar  berkata, bagi merealisasikan usaha itu, Kementerian Pendidikan mempunyai waktu untuk menaiktaraf dan menambah prasarana prasekolah di lokaliti golongan miskin dan B40 supaya akses pendidikan kepada kumpulan tersebut dapat diperhebatkan lagi.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan peratusan anak-anak berusia enam tahun ke prasekolah seperti negara maju lain termasuk Vietnam dan Filipina.

“Penting untuk kerajaan menyediakan akses pendidikan menyeluruh khususnya kepada golongan miskin kerana mereka mungkin tidak berpeluang menghantar anak-anak ke prasekolah swasta bahkan akses ke prasekolah juga terhad.

Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah berkata, isu 3M perlu diberikan perhatian seawal mungkin, iaitu sewaktu kanak-kanak melangkah masuk secara formal ke alam persekolahan rendah. 

Katanya, 3M merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap murid kerana susunan kandungan kurikulum dilihat semakin sukar mengikut tahap persekolahan sekolah. 

Beliau juga percaya bahawa Kementerian Pendidikan akan menitikberatkan kemahiran 3M kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah seawal usia empat tahun dengan menyelaraskan silibus dan kurikulum pembelajaran di semua prasekolah dan tadika di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN