Ujian kemasukan tunggal perlu diteliti

Ujian kemasukan tunggal perlu diteliti

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan single entry exam atau ujian kemasukan tunggal ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi memerlukan pertimbangan yang teliti.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata,  ia memerlukan pertimbangan yang teliti kerana melibatkan pelbagai program pengajian yang dikendalikan oleh kementerian berbeza dan melibatkan pelbagai faktor termasuk struktur pengajian dan kaedah penilaian yang berbeza.

Katanya, pelaksanaannya juga dipertimbangkan dalam konteks dasar pengambilan pelajar IPT yang berasaskan meritokrasi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggunakan prinsip merit, yang mengambil kira 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dalam menentukan kemasukan pelajar ke IPT.

“Oleh itu, pelaksanaan ujian tunggal juga akan dilihat dari segi kesesuaian dasar serta menilai implikasi sosial dan pendidikan yang terlibat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memintanya menyatakan sejauh manakah kajian terperinci dijalankan oleh kementerian terhadap pelaksanaan ujian tunggal tersebut bagi lepasan STPM dan matrikulasi.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan sedang membuat penilaian terhadap pelaksanaan ujian tunggal tersebut.

“Kita sedang membuat penilaian yang mendalam dan menyeluruh berhubung  agar selari dengan peraturan dan dasar sedia ada.

“KPM tetap komited untuk memastikan akses pendidikan yang adil dan berkualiti kepada semua murid,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN