JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling, di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Amimuzamam Aini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.28 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi.
“Berdasarkan maklumat anggota polis di lokasi, mangsa, Tay Aun Yen yang berusia 37 tahun dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling selepas tidak ditemukan di kediamannya, petang semalam.
“Mayat mangsa kemudian ditemukan berhampiran sebuah pokok kira-kira 30 meter dari lokasi kenderaan miliknya sebelum dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 11.08 pagi.-UTUSAN










