REMBAU: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar tingkatan empat yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan, Seremban pagi tadi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, namun siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur buli atau gangguan di sekolah.
Menurutnya, ibu bapa pelajar berkenaan memaklumkan anak mereka berada dalam keadaan baik seperti biasa sebelum hadir ke sekolah pagi tadi.
“Setakat ini, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibu dan bapa arwah, tidak timbul sebarang isu buli atau perkara luar biasa yang ditunjukkan oleh pelajar itu sebelum kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah sedang meneliti kes ini secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, di sini, malam ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kemudian menziarahi keluarga mangsa di hospital berkenaan.
Mohd. Azam berkata, ketika kejadian bapa mangsa turut berada di sekolah memandangkan hari ini merupakan sesi perjumpaan bersama ibu bapa.
“Ketika kejadian ini berlaku, bapa arwah juga ada di sekolah. Cuma takdir menentukan, waktu bapa hendak datang ke kelas, arwah telah meminta izin untuk ke tandas dan daripada situlah dimaklumkan ada kemalangan ini telah berlaku,” katanya
Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan sokongan psikososial kepada ahli keluarga, rakan-rakan sekelas dan guru-guru yang terkesan dengan insiden tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Azam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman berkaitan kejadian berkenaan bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
“Kami berharap masyarakat dapat memberikan ruang dan menghormati privasi keluarga dalam tempoh yang amat mencabar ini serta mendoakan yang terbaik buat arwah dan keluarganya,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.-UTUSAN










