PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua pihak agar memberi ruang kepada keluarga pelajar perempuan yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan, Negeri Sembilan pagi tadi serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting bagi menghormati keluarga mangsa ketika pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Saya dan Azizah berduka menerima berita pemergian seorang anak di sebuah sekolah di Negeri Sembilan hari ini. Takziah buat keluarga yang sedang diduga dengan ujian yang amat berat ini.
“Saya memohon semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, sementara pihak polis menjalankan siasatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.
Beliau turut mendoakan agar roh pelajar tersebut dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Kejadian itu menyebabkan suasana menjadi kecoh apabila orang ramai mula berkumpul di kawasan sekolah sejurus selepas insiden berkenaan berlaku.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) turut memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan dan perkara itu kini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPNS akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.-UTUSAN










