SERDANG: Bekalan elektrik 10 premis termasuk sebuah rumah kedai di sekitar Puchong dan Serdang yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dipotong hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pemotongan elektrik tersebut dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata, berdasarkan risikan polis dan maklumat daripada orang awam, polis mengesyaki kemungkinan premis-premis tersebut sebahagian daripada satu sindiket yang sama.
“Polis percaya premis-premis ini merupakan satu sindiket sama namun didaftarkan atas nama individu-individu yang berbeza.
“Hasil pemantauan TNB mendapati wujudnya pemasangan elektrik secara haram dibuat oleh premis-premis tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Ops Pemotong Bekalan Elektrik di Taman Kinrara di sini, hari ini.
Menurutnya, polis turut mendapati terdapat beberapa premis judi dalam talian tersebut bertindak beroperasi semula meskipun sudah diserbu pihak polis.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, polis telah menahan seramai 29 individu termasuk sembilan warga asing menerusi Ops Dadu di 19 premis perjudian dalam talian sejak Julai sehingga 19 Januari lalu.
“Sepanjang operasi itu, sebanyak 107 tablet, tujuh telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM4,500 turut dirampas,” katanya. – UTUSAN











