SEBUT sahaja tentang Kuala Selangor, perkara pertama yang sering bermain di fikiran pastinya makanan laut segar serta kawasan kelip-kelip yang pernah menjadi tarikan utama suatu ketika dahulu.
Namun sebenarnya, terdapat satu lagi lokasi tersembunyi yang patut diteroka, terutamanya bagi pencinta alam.
Lokasi istimewa ini menghimpunkan tiga kawasan santuari menarik yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.
Ia juga merupakan destinasi pertama di Lembah Klang yang memberikan pengalaman berbeza untuk setiap pengunjung.
Keistimewaan destinasi ini terletak pada pilihan yang diberikan kepada pengunjung untuk memilih pengalaman yang mereka inginkan, sama ada mengunjungi muzium interaktif serangga, pusat pemuliharaan rama-rama atau taman dunia bunga matahari.
Setiap pilihan memberi peluang kepada pengunjung untuk mempelajari lebih banyak tentang ora dan fauna.
Sebagai seorang pencinta alam, kunjungan saya ke lokasi ini meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan.
Sunflower World dengan keluasan 1.21 hektar ini menempatkan lebih daripada 100 spesies serangga dan hampir 100 spesies bunga yang berasal dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia.
Antara serangga yang dapat ditemui termasuklah pelbagai jenis kumbang, lebah dan kupu-kupu.
Tarikan utama di sini adalah gabungan tiga santuari yang berada dalam satu kawasan, membolehkan pengunjung menikmati keindahan lebih 5,000 pokok bunga dan serangga tanpa perlu berjalan jauh.
Pengalaman di sini semakin menarik apabila pengunjung diberi peluang untuk memegang kumbang, merasai madu lebah yang segar serta menyaksikan perjalanan hidup kupu kupu dari peringkat telur, ulat beluncas, kepompong sehingga menjadi kupu-kupu dewasa.
Selain itu, pengunjung juga dapat melihat spesies kumbang unik yang terbesar di Asia, termasuk kumbang tanduk tiga dan kumbang emas. Petugas pameran memberikan penerangan terperinci tentang spesis serangga tersebut.
Saya sendiri memberanikan diri untuk memegang kumbang tanduk tiga yang besar, suatu pengalaman yang cukup mendebarkan tetapi menyeronokkan. Suasana ceria turut disemarakkan dengan gelak tawa pengunjung lain yang turut mencuba pengalaman sama.
Tarikan lain yang tidak kurang menarik ialah peluang untuk merasai madu lebah secara langsung serta memegang kupu-kupu.
Penekanan terhadap aspek keselamatan menjadikan semua aktiviti di sini menyeronokkan dan bebas daripada sebarang kebimbangan.
Lokasi ini sememangnya sebuah tarikan yang wajib dikunjungi bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam sambil memperoleh ilmu berharga tentang ora dan fauna.
JAMBATAN RAMA-RAMA
Pengunjung ke Insectarium di Sunflower World pasti teruja dengan jambatan rama-rama di langit yang juga pertama seumpamanya di negara ini. Jambatan ini menawarkan pemandangan indah dengan rama-rama yang terbang bebas di sepanjang jambatan yang tertutup itu, menjadikannya tempat wajib dikunjungi bagi pencinta alam.
Selain itu, Insectarium menempatkan pelbagai spesies kumbang dari larva hingga dewasa. Antara yangmencuri perhatian ialah chalcosoma chiron kirbyi atau lebih dikenali sebagai kumbang tanduk tiga dan allotopus moellenkampi moseri yang dikenali sebagai kumbang rusa jantan emas.
Kumbang ini hanya terdapat dalam jumlah yang terkawal, dengan lima hingga sepuluh ekor hidup padasatu-satu masa.
Ia memastikan setiap spesies dipelihara dengan baik tanpa mengganggu ekosistem asal.
Pengunjung juga berpeluang mengetahui proses tumbesaran kumbang, bermula daripada larva yang memerlukan masa satu setengah tahun untuk matang sebelum mencapai jangka hayat tiga hingga enam bulan.
Antara fakta menarik ialah kumbang tanduk tiga yang dikenali dengan saiznya yang besar serta struktur tanduk unik, manakala kumbang rusa jantan emas memukau pengunjung dengan warna kilauan logamnya yang luar biasa.
Menariknya, selain kumbang, pengunjung juga dapat menyaksikan serangga lain seperti kala jengking.
Pameran yang unik ini menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan kepada setiap pengunjung yang datang.UTUSAN










