PETALING JAYA: Suspek lelaki yang didakwa melakukan perbuatan seksual terhadap seorang budak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali akan direman esok untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan permohonan reman.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk dipohon reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak perempuan hari ini.
Difahamkan kejadian terbabit berlaku di sebuah masjid di Batang Kali di sini kira-kira pukul 6.40 pagi.
Kejadian terbabit berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.
Secara tiba-tiba, seorang lelaki berbaju kuning memasuki ruang solat wanita dan dilihat mendukung sebelum melarikan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat di bahagian belakang saf.
Dalam rakaman tersebut, turut dilihat, lelaki berkenaan kemudian membawa kanak-kanak itu ke ruang yang lain dan didakwa cuba melakukan perkara terkutuk ke atas mangsa.
Tindakan tidak bermoral tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup yang dipasang di beberapa sudut di dalam masjid berkenaan.- UTUSAN










