Pesawah mahu RM1,800

Pesawah harap kenaikan kurangkan beban

PENGUMUMAN harga lantai belian padi baharu diharapkan membawa khabar gembira kepada golongan pesawah khususnya di Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Harga lantai belian padi baharu yang akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini belum boleh dianggap sebagai munasabah sekiranya hanya naik RM100.

Pesawah, Razak Man, 55, berkata, meskipun tidak mencapai RM1,800 per tan seperti diharapkan mereka, harga lantai baharu perlu sekurang-kurangnya ditetapkan RM1,600 per tan.

Katanya, dengan tambahan subsidi RM500 bagi setiap tan padi, pendapatan keseluruhan RM2,300 itu mampu membolehkan mereka kembali bernafas berbanding dengan harga RM1,300 ketika ini.

“Kalau harga lantai baharu RM1,600, rata-rata petani yang mengusahakan lapan relung atau 2.4 hektar sawah bakal memperoleh RM19,200 untuk hasil 12 tan padi yang kemudian ditambah subsidi menjadi RM25,200.

“Bagaimanapun, pendapatan itu belum ditolak kos input pertanian sekitar RM1,500 bagi setiap relung atau 0.3 hektar dan kalau ada yang menyewa bendang pula perlu ditolak lagi kira-kira RM5,000 untuk keluasan 2.4 hektar.

“Sebab itu kalau boleh kerajaan kena dengar permintaan pesawah untuk harga lantai belian padi yang baharu ditetapkan pada kadar RM1,800 per tan demi kelangsungan petani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan para pesawah menaruh harapan cukup tinggi kepada kerajaan agar pengumuman harga lantai padi baharu pada kadar relevan dengan situasi semasa.

Walaupun kenaikan itu tidak mencapai RM1,800 seperti hasrat pesawah selama ini, namun mereka berharap dapat meringankan beban untuk mengimbangi kos pertanian yang meningkat.

Malah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, harga lantai belian padi yang baharu dijangka tidak akan mencecah RM1,800 seperti diharapkan golongan pesawah untuk mengimbangi kos pertanian yang meningkat.

Seorang lagi pesawah, Wan Selamat Wan Mohd. Nor, 38, berkata, mereka berharap kerajaan memandang serius masalah harus ditanggung olgolongan pesawah sekiranya harga belian masih tidak relevan.

“Banyak input sudah disampaikan pelbagai pihak selama ini berhubung kesukaran dengan harga lantai semasa, kini hanya keprihatinan kerajaan yang kami harapkan.

“Jika tidak merasa sedikit pun keuntungan, maka semakin ramai petani muda akan lari melakukan pekerjaan lain secara makan gaji,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN