PORT DICKSON: Tubuh kecil seorang bayi berusia enam bulan menyusut tetapi perutnya membesar akibat menderita penyakit hemangioma atau pertumbuhan salur darah tidak normal selain masalah jantung tersumbat.
Wan Niyaz Mukhriz yang merupakan anak kedua kepada pasangan Farah Nadia Khalid, 32, dan Wan Hibatul Haziq Habib, 27, turut disahkan oleh doktor menghidap sindrom budd chiari iaitu pembuluh darah di hati tersumbat.
Keadaan tersebut menyebabkan perut bayi tersebut membesar sehingga 52 sentimeter berbanding 44 sentimeter.
Farah Nadia berkata, sepanjang kehamilan bayinya menunjukkan perkembangan yang baik tetapi ketika sakit hendak bersalin doktor mengesan perut bayi sedikit membesar.
“Doktor beritahu kandungan saya berisiko dan peluang untuk saya dan bayi lahir dalam keadaan sempurna amat tipis.
“Masa itu memang rasa sangat sedih tetapi saya berserah pada Allah. Alhamdulillah bayi saya selamat dilahirkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Pengkalan Durian, dekat Linggi kelmarin.
Farah Nadia berkata, dia membuat rawatan alternatif dan mendapatkan maklumat daripada pakar perubatan lain.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini dia masih belum berjumpa dengan mana-mana doktor yang dapat membantu merawat penyakit anak kesayangannya itu.










