PRN Johor: Pengundi bukan bahan ujikaji parti Kancil - AMK

Pengundi bukan bahan uji kaji ‘parti kancil’ – AMK

AMIRA ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Para pengundi di Johor harus bertindak bijak dengan menolak ‘parti kancil’ yang diterajui Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, Sabtu ini.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias berkata, pengundi Johor harus menyampaikan mesej bahawa mereka bukan bahan uji kaji parti setahun jagung itu.

“Bagi saya, pengundi di Johor harus menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka ini bukan dijadikan sebagai bahan uji kaji mana-mana parti politik. Rakyat hari ini mahukan kestabilan, mereka mahukan dasar yang konsisten dan sebuah kerajaan yang benar-benar bekerja untuk selesaikan masalah mereka.

“Politik yang terlalu kerap berubah atau percaturan yang hanya mementingkan kepentingan pada sesebuah parti itu akhirnya akan memberi kesan yang mendalam kepada rakyat dari sudut ekonomi, keyakinan pelabur dan juga kesejahteraan hidup,” katanya dalam kenyataan.

Amira berkata, pilihan raya bukan sekadar memilih seorang calon atau sebuah parti tetapi ia adalah soal menentukan hala tuju negeri dan negara untuk beberapa tahun akan datang.

Katanya, keputusan perlu dibuat berdasarkan fakta, rekod pencapaian dan juga perancangan masa depan, bukan berdasarkan fitnah, khabar angin ataupun politik kebencian semata-mata.

“Saya percaya rakyat hari ini semakin matang. Mereka mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang konsisten membawa dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan siapa yang hanya muncul apabila musim pilihan raya sahaja.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pengundi Johor supaya gunakan hak mengundi anda dengan penuh tanggungjawab. Nilai lah berdasarkan prestasi dan kemampuan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dengan stabil,” katanya.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat bukanlah ‘cek kosong’ kepada mana-mana kerajaan tetapi ia adalah amanah dan mana-mana kerajaan yang dipilih mesti terus bekerja.

Beliau yakin jika rakyat mahukan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mampan dan juga reformasi yang berterusan, maka kerajaan yang ada pada hari ini wajar diberikan peluang untuk meneruskan agenda yang sedang dilaksanakan.

“Kalau kita lihat keadaan negara sebelum ni, antara cabaran terbesarnya ialah ketidakstabilan politik yang memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan ekonomi. Hari ni walaupun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki, tetapi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini telah berjaya mewujudkan suasana politik yang lebih stabil untuk membolehkan dasar-dasar ekonomi itu dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Kalau dari sudut ekonomi pula, kita dapat lihat usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara kita. Pelaburan ini bukan sekadar angka di atas kertas tapi ia membawa peluang pekerjaan kepada rakyat, pembangunan industri yang bernilai tinggi dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara kita.

“Kesan daripada usaha ini tak berlaku dalam sehari tapi ia adalah asas yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara kita dalam jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN