Perlu reformasi menyeluruh padi, beras negara

Perlu reformasi menyeluruh padi, beras negara

DR. ISMAIL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Reformasi menyeluruh industri padi dan beras negara perlu terus menjadi keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan jika mahu menyelesaikan sepenuhnya isu yang membelenggu industri itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, meskipun menyambut baik pengumuman kerajaan kelmarin, beliau merasakan usaha itu hanya langkah sementara bagi mengurangkan tekanan dihadapi pesawah.

Katanya, masalah sama akan berulang pada musim berikutnya jika reformasi yang dicadangkan belum berjaya bagi membawa industri padi dan beras negara ke tahap lebih tinggi.

“Reformasi ini juga termasuk­lah menangani kos input pertanian dan upah-upah yang naik antara 25 hingga 30 peratus iaitu kali pertama pada Oktober 2023 dan selepas penyelarasan subsidi diesel tahun lalu.

“Saya kira mekanisme menyuntik dana RM150 juta bagi menampung sebahagian daripada kenaikan harga lantai padi dalam tempoh enam bulan atau semusim ini tidak boleh berkekalan untuk tempoh lama.

“Tapi tak apa kalau kita nak cuba dahulu, saya rasa meka­nisme ini adalah dengan me­nyalurkan peruntukan itu kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Bernas tambah beberapa juta lagi bagi membolehkan harga beras kekal RM26 sekampit 10 kilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Ismail, Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) juga perlu dipinda bagi selesaikan isu dalam rantaian padi dan beras negara di samping menyegerakan penubuhan Lembaga Padi dan Bijirin Negara.

“Apa yang penting untuk diketahui semua adalah harga beras dan padi ini ibarat berada di puncak iceberg (bongkah ais). Dasar blok iceberg isu padi dan beras itu sebenarnya yang masih lebih besar dan perlu diperbaharui,” katanya.

Mengenai RM1 bilion yang disebut Perdana Menteri, ujar beliau, peruntukan pada Belanjawan 2025 itu adalah bagi pelaksanaan projek Fasa 1 bernilai RM761.23 juta iaitu Pembangunan dan Penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (RM526.37 juta) dan Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu (RM234.86 juta).

Selasa lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan selesaikan secara menyeluruh isu beras yang dihadapi para pengilang bumiputera dan pesawah di seluruh negara.

Antara langkah akan diambil adalah mengumumkan kenaikan harga lantai padi yang munasabah, peruntukan RM1 bilion kepada MADA dan mengatasi penyelewengan yang menjejaskan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

Pada 16 Januari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama tahun ini iaitu mereformasi industri padi dan beras negara, serta meningkatkan produktiviti ruminan, terutamanya pengeluaran daging lembu dan kerbau.

Mohamad berkata, pihaknya telah merangka empat komponen bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah, serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara.

Empat komponen itu adalah pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam dan luar jelapang padi, pembangunan jelapang padi baharu negara di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN