Kenyataan Pas berubah ikut kesesuaian politik semasa - Ahmad Zahid

Kenyataan Pas berubah ikut kesesuaian politik semasa – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Haji Wang ketika sidang akhbar selepas majlis amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Worldskills Shanghai 2026 di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Pas mengenai kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak perlu dipandang serius kerana ia boleh berubah mengikut kesesuaian politik semasa.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang perjanjian rasmi yang dimutamadkan antara kedua-dua pihak mengenai sebarang kerjasama pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, semua pihak terutama jentera BN diingatkan tidak terlalu optimis dengan kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas.

“Cuma kalau ada perbincangan pun, sekadar persefahaman bersama dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan Worldskills Shanghai 2026 di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, senario yang berlaku sebelum hari penamaan calon PRN Johor membuktikan bahawa kenyataan Pas sering berbeza apabila tiba hari pengundian.

“Jangan positif sangat dengan mereka ini. Kita harus bersangka baik sahaja tapi jangan positif sangat kerana mereka boleh tukar goal post bila-bila masa. Saya anggap itu hanyalah kenyataan politik oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata, taktik perubahan pendirian itu bukan perkara baharu kerana sudah banyak parti politik lain mengalami situasi sama mengenai pendekatan dinamik Pas.

Mengulas mengenai persediaan PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, formula pembahagian kerusi dan strategi politik akan disesuaikan secara khusus berdasarkan demografi serta landskap pengundian setempat yang berbeza dengan negeri lain.

“Senarai penuh calon-calon yang bakal bertanding akan diumumkan secara rasmi pada minggu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN