KEDAH adalah negeri di utara Semenanjung yang sering menjadi tumpuan dalam landskap politik tanah air. Negeri ini dianggap ‘swing state’ kerana kecenderungan pengundi yang berubah-ubah antara parti pemerintah dan pembangkang dalam pilihan raya.
Perubahan ini menjadikan Kedah sebagai medan pertempuran utama bagi parti-parti politik yang ingin mengukuhkan pengaruh mereka di peringkat nasional.
Kedah secara tradisi adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO. Namun, sejak pilihan raya umum (PRU) 2008, corak politik negeri ini berubah dengan kemunculan gelombang sokongan kepada parti pembangkang, terutamanya Pas dan kemudian Pakatan Harapan (PH).
Dalam PRU 2008, Pas berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN. Namun, dalam PRU 2013, Kedah kembali ke tangan BN tetapi gelombang politik berubah lagi ketika PRU 2018 apabila PH pula yang membentuk kerajaan.
Edisi pilihan raya negeri (PRN) 2023 menyaksikan Pas yang kini membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu mendominasi Kedah dengan kemenangan besar, menunjukkan peralihan sokongan rakyat kepada blok politik baharu.
PN menumbangkan pengaruh PH dan BN hampir sepenuhnya. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor muncul sebagai figura dominan di negeri ini dan semakin mendapat sokongan dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu ketika PRN itu.
Meskipun masih jauh untuk menghadapi PRN berikutnya, ‘perang’ merebut dan mempertahankan Kedah dilihat seolah-olah sudah bermula antara PN dengan PH-BN.
Hal ini ekoran kenyataan demi kenyataan dua pemimpin yang menjadi tumpuan ketika kempen PRN lalu iaitu Muhammad Sanusi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin yang baharu diberikan mandat selaku Pengerusi PH Kedah menyatakan gabungan itu bersama BN merupakan ‘government in waiting’ atau kerajaan menanti di Kedah.
Reaksi balas Muhammad Sanusi yang meminta pakatan itu menunggu hingga hari kiamat jika mahu mentadbir semula Kedah, kemudian dianggap angkuh oleh Saifuddin sehingga menyifatkan sikap itu seperti ditunjukkan Firaun kepada Nabi Musa.
Sehari kemudian, Muhammad Sanusi dalam ucapan sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri menyatakan beliau bukan Menteri Besar Kedah yang mewakili Pas, orang Melayu dan Islam sahaja sebaliknya kesemua 2.2 juta rakyat negeri ini.
Melihat kenyataan-kenyataan yang dilontarkan kedua-dua pihak ini, tidak mustahil ketegangan politik akan semakin meningkat di Kedah untuk kekal sebagai medan tempur utama antara PN dan PH-BN dalam pilihan raya akan datang.
Sebagai ‘swing state’, Kedah akan terus menjadi negeri yang dipantau dengan teliti dalam pilihan raya kerana corak pengundian di Kedah mencerminkan sentimen politik rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Keputusan di negeri ini bukan sahaja akan menentukan hala tuju pentadbiran Kedah tetapi juga memberi impak besar kepada dinamik politik nasional.
Adakah PN akan terus mengekalkan cengkaman mereka di Kedah atau PH-BN akan berjaya membuat kemunculan semula? Perang politik ini masih jauh daripada selesai dan rakyat Kedah akan menjadi penentu utamanya. – UTUSAN










