KETIKA Pas sedang giat menggerakkan usaha perpaduan ummah menerusi kerjasama parti-parti politik Melayu Islam, Dewan Pemudanya tampil mengemukakan usul supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu dikekalkan untuk ditandingi calon mereka pada pilihan raya akan datang.
Sayap Pas itu mahu ia menjadi dasar dan prinsip utama dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi bersama parti-parti gabungan atau jika bekerjasama dengan mana-mana parti.
Usul itu diterima sebulat suara tanpa bahas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-67 di Kota Bharu, Kelantan, semalam untuk dibawa ke ke Muktamar Pas Pusat.
Pemuda Pas mempunyai hujah tersendiri apabila membuat usul berkenaan iaitu bagi memelihara amanah dan keyakinan pengundi yang memilih Pas sebagai wakil mereka. Namun dari satu sudut, timbul persoalan sama ada ia akan menyempitkan ruang kerjasama politik yang mahu dirintis khususnya dengan UMNO.
Di pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula, pendekatan ini dapat dilihat di Melaka apabila menetapkan semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya menjadi garis sempadan perbincangan di antara parti itu dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Situasi ini jelas menunjukkan kerusi berstatus quo menjadi antara perkara penting yang perlu diselesaikan antara kedua-dua buah parti jika ingin mencari titik kesepakatan menghadapi pilihan raya.
Dalam mencari formula pembahagian kerusi ini, landskap politik di sesebuah negeri yang berbeza dan mempunyai dinamik politik tersendiri perlu diambil kira. Ia perlu ditentukan berdasarkan waqi’ atau keadaan politik semasa di negeri itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) kelak.
Malah, UMNO sendiri sudah mengarahkan kepemimpinannya di peringkat negeri mengadakan perbincangan dan perundingan dengan parti politik yang bersedia menjalinkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Jadi, bukan satu keputusan yang tidak adil jika Pas meletakkan sehingga 90 peratus calonnya di negeri dikuasai parti itu seperti di Terengganu dan begitu juga sebaliknya.
Namun ia tidak boleh mengikat proses rundingan pembahagian kerusi dengan situasi ini kerana aspek lain seperti corak pengundian, sentimen rakyat dan pertandingan tiga penjuru juga perlu dicongak. Setiap parti perlu diberi ruang yang munasabah berdasarkan kekuatan jentera, rekod sokongan, kesesuaian calon dan kebarangkalian untuk menang.
Apa yang penting, pemimpin kedua-dua buah parti itu perlu berjiwa besar dalam mencari keadilan dan muafakat dalam rundingan berkenaan.
Mereka perlu sedia berkorban dengan memberi dan menerima jika kepentingan kerusi masing-masing disentuh. Mereka juga seharusnya berlapang dada melepaskan sesuatu yang dipegang dalam mencari hasil timbal balik yang menguntungkan kedua-dua buah parti selaras dengan misi menjayakan perpaduan ummah.
Jika ranjau ujian besar ini dapat diatasi, ia membuka laluan yang lebih mudah dalam pembentukan kerjasama politik Pas dan UMNO.











