
MUKTAMAR Tahunan Pas Ke-72 di Kelantan yang berakhir kelmarin agak istimewa yang menjadi simbolik ke arah penyatuan kembali kerjasama politik antara Pas dan UMNO.
Kerjasama tersebut hampir menjadi kenyataan dan jika direalisasikan sekali gus bakal mengubah landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kehadiran wakil UMNO ke muktamar berkenaan sejak kali terakhir pada era Muafakat Nasional (MN) pada 2019, menggambarkan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu Islam itu semakin hampir diterjemahkan.
Sebagai timbal balas bagi memperkukuhkan hubungan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula dijangka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.
Majlis Ulama UMNO mahu kerjasama antara parti itu dengan Pas dimeterai secara rasmi dan lebih kukuh manakala, Pas pula telah menjadikan penyatuan ummah itu antara agenda utama dalam mendepani PRU16 serta memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuhkan kerjasama politik berteraskan Melayu Islam.
Usaha ke arah penyatuan tersebut boleh direaliasikan jika kedua parti itu benar-benar ikhlas demi kepentingan Melayu Islam bukan sekadar sama-sama ‘menunggang’ untuk meraih kuasa politik semata-mata. Jika itu matlamatnya, ia sukar berkekalan seperti MN sebelum ini.
Ujian sebenar sejauh mana kerjasama itu apabila tiba masa soal agihan kerusi dalam PRU16 kelak. Ia bakal menjadi cabaran cukup besar kepada Pas dan UMNO yang sudah pastinya sebagai sebagai parti teras orang Melayu Islam terbesar, masing-masing mempunyai ego.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antaranya telah menegaskan, Pas akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya akan datang.
“Kita tentukan kerusi mana yang patut, yang dimenangi oleh Pas. Jangan lepaskan kerusi kepada siapa-siapa pun.
“Kerusi hak kita boleh menang bagi kepada orang, hak kalah kita ambil. Itu ikhlas dan bodoh namanya,” katanya semasa menggulungkan ucapan dasar Presiden Pas dalam muktamar, kelmarin.
Di negeri-negeri SG4 yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh Pas, adakah UMNO sekadar diberi laluan dua atau tiga kerusi di kawasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah pastinya Parti Wawasan Negara (Wawasan) turut mengintai peluang.
Jika Pas dan UMNO benar-benar ikhlas merealisasikan kerjasama kali ini, mereka mesti mencapai kata sepakat khususnya dalam soal pengagihan kerusi tersebut. Jika gagal, tidak ada bezanya MN dengan penyatuan kali ini.
Penyatuan ummah sebenarnya mempunyai skop yang cukup luas bukan sekadar kuasa politik semata-mata. Jika gagal pengagihan kerusi, carilah formula lebih realistik iaitu bertembung di negeri dikuasai Melayu Islam dan bekerjasama di negeri-negeri majoriti pengundi campuran.
Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang jika bertembung sekali pun antara Pas dan UMNO, tetap dikuasai Melayu Islam. Kerjasama lebih sesuai di negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka serta Wilayah Persekutuan.
Carilah pendekatan terbaik jika ingin merealisasikan kerjasama Pas-UMNO. – UTUSAN










