Pengusaha madu kelulut rugi angkara beruang

Pengusaha madu kelulut rugi angkara beruang

MOHAMAD Sabri Hanipa (kanan) menunjukkan sarang kelulut yang masih ada di rumahnya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi 2, Gua Musang, Kelantan.– UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang imam dianggarkan kerugian RM30,000 selepas sarang madu kelulut yang diusahakan berhampiran rumahnya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi 2, di sini dimusnahkan beruang matahari.

Mohamad Sabri Hanipa, 35, berkata, serangan haiwan liar sejak tahun 2020 itu semakin membimbangkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sehingga 55 sarang madu kelulutnya musnah.

“Sejak itu saya tidak lagi menjual madu kelulut kerana tinggal 15 sarang sahaja. Hasil madu itu kini hanya kegunaan sendiri.

“Sarang madu kelulut ini saya letak di sekeliling rumah dan saya pernah melihat sendiri beruang itu makan madu dalam jarak hanya lima meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di RPT Limau Kasturi 2 di sini, semalam.

Mohamad Sabri berkata, bagi mengelak serangan beruang, dia memasang lampu dan membina tempat sarang kelulut lebih tinggi di dinding rumahnya.

Seorang lagi pengusaha madu kelulut, Azhar Che Amir, 56, berkata, dalam kejadian terbaharu di rumahnya dua hari lalu, seekor beruang merosakkan dua sarang madu kelulutnya.

“Penduduk turut bimbang dengan keselamatan nyawa kerana beruang ini berani menghampiri kediaman penduduk.

“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menyelesaikan masalah dengan  memasang perangkap bagi memburu beruang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib untuk menangkap haiwan terbabit.

Katanya, lebih 700 penduduk di Kampung Limau Kasturi 2 kini hidup dalam kebimbangan apabila sudah ramai yang terserempak dan melihat kelibat haiwan itu.

“Kami percaya haiwan ini lebih daripada seekor kerana pernah dalam satu malam empat rumah pengusaha madu kelulut terlibat dengan serangan haiwan liar itu.

“Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera termasuk memasang perangkap sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

 

MOHAMAD Sabri Hanipa (kanan) menunjukkan sarang kelulut yang masih ada di rumahnya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi 2, Gua Musang, Kelantan.– UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN