KOTA BHARU: Cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini mampu membantu kerajaan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan terutama aktiviti penyeludupan.
Pengerusi Prihatin Suara Anak Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, ia menjadi penyelesaian praktikal sebelum pembinaan tembok kekal dalam mengawal keselamatan negara 24 jam sehari.
“Melalui CCTV ini, pihak berkuasa boleh bertindak lebih pantas dalam usaha mengekang sebarang aktiviti jenayah.
“Pemasangan ini boleh dilakukan di kawasan berisiko tinggi di sepanjang Sungai Golok,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamad Ezzat Zahrim berkata, pihaknya mendesak kerajaan supaya segera meluluskan peruntukan bagi membolehkan pemasangan itu dilakukan untuk memastikan keselamatan sempadan negara di tahap terbaik.
“Tahap keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan dan kerajaan perlu bertindak segera,” katanya.
Akhbar ini melaporkan, pemasangan CCTV mengukuhkan lagi kawalan dan tahap keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, sementara pembinaan tembok atau tebatan banjir direalisasikan.
Sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sepanjang 106 kilometer yang terlalu terbuka dan hanya dipisahkan laluan sungai yang jaraknya sekitar 30 meter ke seberang memberi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Keadaan itu mendorong berlaku aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan subsidi, pemerdagangan manusia, dadah dan lain-lain yang sudah sebati dengan kawasan tersebut.-UTUSAN










