KUALA LUMPUR: Kerajaan mendedahkan industri insurans dan takaful memperoleh RM4.4 bilion keuntungan tahunan dari 2018 hingga 2023 daripada syarikat insurans hayat serta pengendali takaful keluarga (ITO).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam pada itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga sudah mengambil beberapa langkah tegas bagi mengekang impak kenaikan premium atau insurans perubatan dan kesihatan dan takaful (MHIT) kepada pemegang polisi.
Antara langkahnya, menurut beliau, pengagihan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun iaitu akan dilaksanakan sehingga akhir 2026.
Jelasnya, penangguhan pelarasan premium disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan selama satu tahun bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli.
“Pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi mereka telah luput pada 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan.
“Menerusi langkah interim di atas, 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan kurang daripada 10 peratus yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan. Ini akan memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya menyatakan jumlah keuntungan syarikat insurans nyawa setiap tahun sejak 2018 dan penyelesaian ke atas kontroversi kenaikan premium insurans perubatan.
Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan hingga memaksa BNM campur tangan dalam menangani inflasi tersebut.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, keuntungan dari portfolio insurans lain secara amnya tidak wajar digunakan untuk menyerap kerugian dalam portfolio MHIT kerana tidak adil kepada pemegang polisi yang tidak membeli MHIT.
“Sebagai contoh, pemegang polisi yang hanya membeli perlindungan hayat juga perlu membayar premium yang tinggi untuk menampung tuntutan produk MHIT meskipun produk perlindungan hayat tidak dipengaruhi oleh inflasi kos perubatan,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, langkah interim tersebut hanya dapat memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi kerana isu pokok permasalahan yang berlaku masih terletak pada peningkatan inflasi kos perubatan.
“Peningkatan berterusan inflasi kos perubatan adalah punca utama yang menyebabkan kadar tuntutan MHIT semakin meningkat.
“Apabila tuntutan MHIT melebihi premium secara berterusan, dana premium yang terkumpul tidak akan mencukupi untuk membayar tuntutan oleh pemegang polisi,” jelasnya.
Beliau berkata, keadaan tersebut akan menyebabkan ITO tidak lagi akan menawarkan produk yang menanggung kerugian secara berterusan dan seterusnya akan menjejaskan pilihan yang ada kepada pengguna.
“Sekiranya ini berlaku, pengguna tidak lagi dapat mengakses produk MHIT dan perlu menanggung perbelanjaan kesihatan menggunakan sumber kewangan sendiri. Oleh itu, keupayaan ITO untuk terus memenuhi tuntutan yang dibuat adalah penting,” katanya.
Tambahnya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj-caj hospital swasta.
“Usaha ini termasuk melaksanakan model pembayaran Diagnostic Related Group (DRG) dan meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim.
“Langkah-langkah lain yang boleh diambil oleh hospital swasta untuk membendung inflasi kos perubatan juga sedang dibincangkan sebagai penyelesaian jangka panjang,” katanya. –UTUSAN










