Houthi serang lapangan terbang Arab Saudi - Utusan Malaysia

Houthi serang lapangan terbang Arab Saudi

KEPULAN asap akibat serangan di Lapangan Terbang Sanaa, Yemen semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen berkata, mereka telah melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Abha di Arab Saudi pada Isnin.

Ia dilancarkan  sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi, walaupun kerajaan Yemen yang disokong Riyadh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

“Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan jenayah oleh Arab Saudi ini, Angkatan Tentera Yemen telah melaksanakan operasi ketenteraan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV),” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam satu kenyataan video.

Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan supaya tidak menggunakan ruang udara Arab Saudi dan menegaskan bahawa amaran tersebut perlu dipandang serius sehingga sekatan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa ditarik balik.

Kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas lapangan terbang yang dikuasai Houthi itu dengan alasan mahu menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat.

Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa gagal memujuk delegasi Houthi yang menghadiri upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, di Teheran supaya menaiki penerbangan syarikat penerbangan nasional Yemenia.

Peningkatan ketegangan terbaharu itu mengancam gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 2022 walaupun tempohnya telah tamat. Ia juga berlaku ketika ketegangan di rantau Teluk semakin memuncak susulan serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang turut menjejaskan pelayaran di Selat Hormuz.

Teheran mengutuk serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa dengan jurucakap Kementerian Luar Iran menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN