PASIR MAS: Seorang bapa yang menjadi mangsa banjir hujung November lalu sebak apabila anaknya menjadi seorang daripada 30 penerima kelengkapan persekolahan sumbangan Pasaraya Econsave dan Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Kelantan di sini, semalam.
Ahmad Ismail, 37, yang merupakan pesara tentera berkata, dia tidak mampu menyediakan kelengkapan penggal baharu persekolahan kepada anak-anaknya selepas rumah mereka ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.
“Semua barangan kelengkapan rumah seperti peralatan elektrik, pakaian dan seragam sekolah anak termasuk buku sekolah rosak ditenggelami banjir. Situasi itu meninggalkan kesan mendalam kerana saya tidak mempunyai pencen dengan hanya bekerja sendiri, pendapatan tidak menentu.
Jadi saya perlu berjimat-cermat kerana masih mempunyai dua anak yang bersekolah yang mana seorang daripadanya mendaftar darjah satu pada 16 Februari ini,” katanya semasa ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pasaraya Econsave dan Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Kelantan di Taman Desa Wira Jaya, Lubok Jong.
Ahmad berkata, sumbangan itu sangat membantu meringankan bebannya selepas buntu perlu mencari wang untuk menyediakan peralatan baharu kepada anaknya terutama yang akan melangkah ke tahun satu.
Sementara itu, Ketua Wanita Ikram Negeri Kelantan, Prof. Dr. Dasmawati Mohamad berkata, seramai 30 penduduk di Taman Desa Wira Jaya Lubok Jong layak menerima baucer bernilai RM100.
“Penghuni terjejas teruk selepas rumah mereka ditenggelami banjir. Kami berharap sumbangan dapat mampu meringankan bebanan mereka,” katanya.-UTUSAN










