Perkahwinan penuh 'rahsia' Taylor Swift, Travis Kelce

Perkahwinan penuh ‘rahsia’ Taylor Swift, Travis Kelce

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pengantin lelaki mengenakan tuksedo putih, pasangan itu menulis sendiri ikrar perkahwinan mereka manakala penyanyi legenda, Stevie Nicks membuat persembahan, menurut ‘maklumat bocor’ tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan penuh gilang-gemilang membabitkan bintang sensasi Taylor Swift dan pemain NFL, Travis Kelce pada Jumaat.

Majlis perkahwinan yang berlangsung dalam suasana majlis taman tertutup yang dibina khas di dalam arena Madison Square Garden, New York City itu sebelum ini dirahsiakan sepenuhnya daripada pengetahuan umum.

Perkahwinan pasangan itu disahkan menerusi paparan pada papan iklan gergasi yang memaparkan mesej ‘JUST&T MARRIED!’.

Pasangan itu masih belum mengeluarkan sebarang gambar rasmi, namun beberapa tetamu berkongsi gambaran mengenai majlis tersebut.

Mereka menyifatkan lokasi perkahwinan itu sebagai sebuah taman yang dibina di dalam arena tertutup tanpa tingkap yang lazimnya menjadi lokasi ribuan penonton menghadiri perlawanan bola keranjang, hoki ais, konsert muzik serta pertunjukan luncur ais.

Pemilihan lokasi itu disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa untuk majlis perkahwinan.

“Ia adalah suasana paling intim yang boleh diwujudkan walaupun berlangsung di Madison Square Garden. Benar-benar seperti sebuah taman. Sangat indah.

“Agak sukar membayangkan sebuah tempat sebesar itu serta majlis perkahwinan yang menghimpunkan begitu ramai selebriti boleh terasa begitu peribadi dan intim,” kata pengacara, George Stephanopoulos dalam rancangan Good Morning America terbitan ABC.

Pasukan Swift memaklumkan pasangan itu mengenakan busana rekaan Christian Dior, namun tidak mendedahkan banyak butiran lain.

Wakil Swift tidak memberikan maklum balas segera terhadap pertanyaan Reuters pada Sabtu, manakala gambar rasmi majlis itu juga masih belum didedahkan kepada umum.

Pengacara bersama Good Morning America, Robin Roberts berkata, majlis tersebut dipenuhi pelbagai sentuhan peribadi.

“Mereka menjemput jiran-jiran serta rakan-rakan sekolah menengah mereka. Ia seperti mana-mana majlis perkahwinan biasa yang pernah anda hadiri,” katanya.

Laporan media menyebut lebih 1,000 tetamu dijemput menghadiri majlis berkenaan termasuk dalam kalangan selebriti terkenal.

Antara selebriti yang dilihat memasuki atau meninggalkan Madison Square Garden pada Jumaat ialah Selena Gomez, Tom Hanks, Steven Spielberg, Bradley Cooper, Gigi Hadid, Paul McCartney, Gracie Abrams, Jason Sudeikis dan Hugh Grant.

Roberts turut mengesahkan bekas penyanyi Fleetwood Mac yang juga penyanyi solo terkenal, Stevie Nicks, yang merupakan rakan rapat Swift, membuat persembahan pada majlis itu.

Beliau juga berkata, pengantin perempuan dan pengantin lelaki menulis sendiri ikrar perkahwinan mereka.

Sementara itu, pengarah beberapa video muzik Swift, Joseph Kahn berseloroh mengenai dasar larangan penggunaan telefon bimbit sepanjang majlis berlangsung.

“Saya tidak pernah berjauhan dengan telefon saya selama itu sejak 1992,” tulisnya menerusi platform X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN