PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan tokoh filem, seniman dan pengkarya veteran negara, Datuk Rahim Razali, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-87.
Anwar berkata, Rahim merupakan antara sosok penting yang memperkaya seni tanah air menerusi karya-karya yang bukan sahaja merentas zaman, malah mengangkat nilai kemanusiaan, budaya dan jati diri bangsa.
“Beliau antara sosok yang telah memperkaya seni tanah air dengan karya-karyanya yang tidak semata-mata merentas zaman, tetapi turut mengangkat nilai kemanusiaan, budaya dan jati diri bangsa.
“Saya yakin karya-karyanya akan terus menjadi ilham dan pencetus kepada generasi seniman dan pencinta seni untuk masa sekarang dan juga mendatang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar turut mendoakan Rahim dikurniakan usia yang diberkati, kesihatan yang baik serta kekuatan untuk terus menyumbang kepada dunia seni dan kebudayaan tanah air.
“Semoga Allah SWT mengurniakan Datuk Rahim Razali usia yang diberkati, kesihatan yang baik serta kekuatan yang akan terus menyumbang kepada dunia seni dan kebudayaan tanah air, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










