ALOR SETAR: Kerajaan negeri telah memulakan sesi libat urus dengan Kerajaan Persekutuan bagi menetapkan semula hala tuju Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu seperti dititahkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 13 April lalu.
“Patik sesungguhnya yakin akan kebijaksanaan Tuanku dalam usaha memperkukuh dan merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi yang kekal menjadi Permata Kedah selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Sallehuddin menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda difahamkan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah berjaya merekodkan kehadiran tujuh juta pelancong sepanjang Tahun Melawat Kedah 2025, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.
Namun ujar beliau, sektor pelancongan pada tahun ini berdepan cabaran susulan ketegangan di Asia Barat.
“Sehubungan itu, kerajaan Tuanku melalui Kedah Tourism telah meningkatkan usaha mempromosikan tarikan pelancongan baharu seperti Port Padang Garam di Kuala Kedah, Kopi Waktu di Ulu Sedaka, Yan dan Rock Village di Kampung Kura, Sik melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial sebagai medium penyampaian yang lebih berkesan,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, beliau berkata, kerajaan negeri meneruskan pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Beras Sejahtera, Bantuan Permataku Sejahtera, Bantuan Perubatan Sejahtera dan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar yang sehingga kini telah memanfaatkan lebih 34,281 penerima.
Katanya, projek Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik, Padang Terap juga mula membuahkan hasil apabila enam peserta pertama akan mula mendiami rumah masing-masing bermula Ogos ini.
Menurut beliau, projek sama akan diperluaskan ke Mukim Sungai Limau, Yan dengan kerjasama pihak swasta, melibatkan pembinaan 116 rumah di atas lot tanah yang akan ditawarkan kepada peserta layak. – UTUSAN










