PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais akan menyertai parti baharu bagi meneruskan perjuangannya dalam arena politik.
Memetik laporan FMT, Mahathir berkata, parti baharu yang bakal disertainya itu tidak ada sebarang kaitan dengan Bersatu.
“Saya bakal sertai wadah perjuangan yang baharu, dan tidak ingin dikaitkan sama sekali dengan Bersatu.
“Saya cenderung kepada usaha kerajaan dalam membina semula negara,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Mahathir melepaskan jawatan setiausaha Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam surat dihantar kepada Ketua Bersatu dan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Radzi Jidin, beliau juga umum keluar parti namun tidak menyatakan alasan berbuat demikian.
Beliau sebelum ini lantang mengkritik perhimpunan diketuai Pas untuk menyokong Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari lalu dengan mengatakan ia mencerminkan kesediaan PN berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.
Mengulas lanjut, Mahathir turut menafikan tuduhan pemimpin Bersatu yang mengatakan tindakannya keluar parti kerana kecewa tewas pemilihan Ketua Bahagian Segambut tahun lalu.
Katanya, beliau telah meletak jawatan itu lebih awal iaitu pada 7 Oktober tahun lalu menerusi surat dihantar kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Saya letak jawatan lebih awal dan tidak bertanding semula merebut jawatan ketua bahagian. Ia kerana saya meragui terdapatnya unsur penipuan dalam tatacara pemilihan bahagian-bahagian,” katanya. –UTUSAN








